johardy14/05/2026 - 10:10 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Mei - Syarikat teknologi pelancongan yang tersenarai di bursa Australia, FlexiRoam Limited menjalin kerjasama komersial utama dengan Tune Protect Group Berhad yang akan menyaksikan perkhidmatan data mudah alihnya disepadukan ke dalam semua polisi insurans perjalanan pratetap yang layak ditawarkan syarikat itu.
Perjanjian yang dimeterai dengan anak syarikat insurtech Tune Protect, White Label Sdn. Bhd. itu menjadi langkah penting kepada FlexiRoam dalam memperkukuh kedudukannya dalam ekosistem teknologi pelancongan dan penjanaan pendapatan sampingan yang berkembang pesat.
Menerusi kerjasama tersebut, pelanggan yang membeli produk insurans perjalanan terpilih akan secara automatik menerima data mudah alih FlexiRoam sebagai sebahagian daripada perlindungan mereka, sekali gus membolehkan mereka kekal berhubung ketika berada di luar negara tanpa perlu melanggan perkhidmatan perayauan secara berasingan.
Pelaksanaan itu akan digerakkan melalui platform WhatsApp berasaskan kecerdasan buatan (AI) milik FlexiRoam yang membolehkan pengguna mengaktifkan pelan data, mendapatkan sokongan pelanggan serta mengakses perkhidmatan tambahan secara terus menerusi aplikasi pesanan tersebut tanpa perlu memuat turun aplikasi lain.
Kerjasama itu secara tidak langsung mengubah fungsi sambungan internet daripada sekadar perkhidmatan tambahan kepada komponen terbina dalam pengalaman insurans perjalanan.
Syarikat pelancongan giat cari sumber pendapatan baharu
Langkah itu hadir ketika syarikat pelancongan global semakin agresif mencari sumber pendapatan bukan tiket selain memperkukuh hubungan dengan pelanggan selepas proses tempahan dibuat.
Menurut data yang dipetik FlexiRoam daripada CarTrawler dan IdeaWorksCompany, syarikat penerbangan sahaja menjana kira-kira AS$148 bilion pendapatan sampingan pada 2024, sekali gus menunjukkan potensi besar dalam perkhidmatan digital pelancongan, produk terbina dalam serta platform penglibatan pelanggan berasaskan teknologi.
FlexiRoam berkata, kerjasama itu menyediakan titik sentuhan bernilai tinggi dengan pelanggan pada waktu penting ketika mereka sedang membuat persiapan perjalanan.
Syarikat itu percaya model sambungan internet terbina dalam berpotensi menyokong pelbagai perkhidmatan tambahan pada masa depan termasuk tempahan hotel, naik taraf perjalanan dan tawaran berkaitan pelancongan lain.
Perjanjian dua tahun dengan pembaharuan automatik
Kerjasama itu berkuat kuasa serta-merta untuk tempoh awal dua tahun dengan pembaharuan tahunan secara automatik selepas itu.
FlexiRoam akan menjana pendapatan menerusi bayaran berdasarkan jumlah polisi perjalanan yang dijual, namun syarikat itu tidak mendedahkan nilai keseluruhan kontrak.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif FlexiRoam, Jefrey Ong menyifatkan kerjasama tersebut sebagai pencapaian penting buat syarikat berkenaan.
“Memperoleh pelaksanaan penuh bersama Tune Protect merupakan pencapaian besar. Komitmen mereka untuk memasukkan data kami dalam semua Polisi Pratetap membuktikan platform kami sudah bersedia untuk pelaksanaan berskala perusahaan,” katanya dalam kenyataan di bursa Australia (ASX).
Beliau berkata, kerjasama itu turut meletakkan FlexiRoam sebagai lapisan penglibatan terbina dalam sepanjang perjalanan pelanggan dan membuka peluang pengembangan ke sektor pelancongan lain termasuk syarikat penerbangan, hotel dan agensi pelancongan dalam talian. - DagangNews.com


