Kerajaan sedia mengumumkan akan menawarkan subsidi untuk tiket penerbangan bagi para pelajar di universiti awam, sekaligus mengurangkan sedikit beban mereka terutamanya untuk pelajar dari Sabah dan Sarawak yang belajar di Semenanjung Malaysia, dan juga sebaliknya.
Dinamakan sebagai FlySISWA, bagi para pelajar universiti, anda boleh membuat semakan kelayakan melalui laman Subsidi Udara. Pelajar hanya perlu memilih nama universiti dan memasukkan nombor MyKad untuk menyemak kelayakkan.

Pelajar yang layak untuk menerima subsidi FlySiswa ini adalah semua pelajar warganegara Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di universiti awam pada tahun 2023 dalam kategori berikut;
- berasal dari Sabah, Sarawak atau Wilayah Persekutuan Labuan (berdasarkan alamat tetap) yang sedang menuntut di Semenanjung Malaysia;
- berasal dari Semenanjung Malaysia (berdasarkan alamat tetap) yang sedang menuntut di Sabah, Sarawak atau Wilayah Persekutuan Labuan;
- berasal dari Sabah (berdasarkan alamat tetap) yang sedang menuntut di Sarawak atau Wilayah Persekutuan Labuan;
- berasal dari Sarawak (berdasarkan alamat tetap) yang sedang menuntut di Sabah atau Wilayah Persekutuan Labuan; atau
- berasal dari Wilayah Persekutuan Labuan (berdasarkan alamat tetap) yang sedang menuntut di Sabah atau Sarawak.
Sekiranya layak, maka pelajar berkenaan boleh melakukan permohonan bantuan subsidi pembelian tiket bernilai RM300 daripada satu syarikat penerbangan – sama ada Malaysia Airlines (termasuk MASwings dan FireFly), AirAsia, Batik Air dan MYAirline.
Selepas permohonan berkenaan, syarikat penerbangan akan mengeluarkan baucar digital RM300 kepada pelajar untuk membeli tiket penerbangan. Sekiranya harga tiket adalah kurang daripada RM300, baki digital akan kekal untuk penggunaan pembelian tiket seterusnya.
Tarikh akhir untuk penebusan baucar FlySISWA ini adalah pada 31 Dsember 2023. Bagi para pelajar, anda boleh menyemak maklumat lanjut berkenaan dan melakukan semakan melalui laman Subsidi Udara hari ini!



