
KUALA LUMPUR 8 Dis – Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) mencadangkan kerajaan untuk melaksanakan mekanisme pelarasan lebihan cukai secara automatik bagi membolehkan lebihan bayaran itu digunakan untuk menjelaskan liabiliti cukai pada tempoh seterusnya.
FMM berkata, langkah itu dapat mengurangkan tekanan kewangan ke atas syarikat selain mengurangkan keperluan kerajaan mengeluarkan wang tunai besar bagi bayaran balik cukai.
“Cadangan tersebut turut merangkumi bayaran balik automatik penuh bagi lebihan cukai di bawah RM1 juta.
“Langkah ini dapat meringankan beban syarikat dalam menyediakan ansuran cukai akan datang, selain mempercepatkan pengurusan aliran tunai kerajaan,” kata FMM dalam satu kenyataan.
FMM juga mengulangi gesaan agar kerajaan komited memproses bayaran balik cukai dalam tempoh 90-120 hari selepas borang difail dan disahkan.
Sekiranya pembayaran balik dibuat secara berperingkat, LHDN perlu memaklumkan jadual pembayaran dengan jelas.
Selain itu, FMM mencadangkan kerajaan membayar faedah jika bayaran balik melebihi tempoh statutori yang ditetapkan mengikut Seksyen 111D Akta Cukai Pendapatan.
“FMM turut menyambut baik keputusan menaikkan had pengecualian e-invoicing kepada RM1 juta, yang dilihat memberi kelegaan kepada SME kecil yang sedang berdepan margin ketat, kekurangan tenaga kerja dan tekanan aliran tunai.
“Sebanyak 85%-90% ahli mereka FMM terlibat dalam pelaksanaan e-invois berfasa.
“Walaupun syarikat sederhana dan besar lebih bersedia, SME kecil berdepan kos tambahan untuk menaik taraf atau membeli perisian perakaunan, mengintegrasi sistem dengan platform e-invois nasional dan melatih kakitangan,” katanya.
FMM berkata kenaikan had kepada RM1 juta memberi kelegaan kepada pemilik perniagaan mikro dan kecil untuk menyesuaikan diri secara lebih tersusun tanpa mengganggu operasi atau menekan margin mereka.
Bagaimanapun, FMM menegaskan bahawa kelonggaran tersebut hanya bersifat sementara dan menggalakkan syarikat-syarikat kecil mempertimbangkan penggunaan e-invois secara sukarela apabila sudah bersedia, selaras dengan hala tuju pendigitalan sistem percukaian negara. - DagangNews.com

