FMM gesa kerajaan siasat kegagalan syarikat tempatkan pekerja asing sebelum kenakan kompaun
diyana
05/01/2024 - 17:47
KUALA LUMPUR 5 Jan - Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan tidak mengenakan kompaun sehingga RM30,000 bagi setiap pekerja ke atas syarikat yang gagal menyediakan pekerjaan kepada pekerja asing tanpa siasatan sewajarnya berhubung perkara itu.
Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, adalah tidak adil untuk meletakkan kesalahan kepada majikan tanpa menjalankan siasatan yang sewajarnya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini selepas Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyuarakan cadangan kompaun tersebut pada 4 Januari 2024 dengan menyifatkan isu berkenaan memberi kesan kepada semua industri dalam negara khususnya perladangan.
Johari menjelaskan bahawa jumlah kompaun yang dikenakan itu boleh digunakan semula untuk menanggung kos penghantaran pulang pekerja asing ke negara asal, yang sebelum ini dibiayai kerajaan.
Soh berkata, pengilang tertakluk kepada syarat ketat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebagai agensi kawal selia bagi sektor pembuatan, di mana majikan perlu menunjukkan bukti tempahan dan permintaan daripada pelanggan sebagai justifikasi jumlah pekerja asing yang dipohon.
"Keperluan ini memastikan industri tidak menyalahgunakan sistem dan membawa masuk bilangan pekerja berlebihan.
“Malahan, banyak pengilang yang telah memohon pekerja asing selepas pembekuan permohonan ditarik balik pada Februari 2022 telah menangguhkan kemasukan kuota penuh mereka yang diluluskan selepas mengalami kelembapan seterusnya dalam permintaan kerana mereka tidak akan dapat menampung pekerja-pekerja ini," ulasnya.

Soh menambah bahawa terdapat kelemahan utama dalam keseluruhan proses pengambilan, dan meminta pengurusan pekerja asing yang lebih berkesan menerusi satu Kementerian dan sistem dalam talian yang menyeluruh tunggal untuk memastikan pentadbiran pekerja asing yang holistik, adil dan telus di negara ini.
Beliau berkata, tiada Kementerian atau agensi lain perlu terlibat dalam proses kelayakan majikan bagi proses pengambilan selain Kementerian tunggal yang bertanggungjawab, yakni sepatutnya Kementerian Sumber Manusia.
“Selain itu, agensi kerajaan yang bertanggungjawab terhadap kawalan sempadan di pintu masuk perlu lebih berwaspada dan melaksanakan kawalan sewajarnya dalam kemasukan pekerja berdokumen,” tambahnya.
Di samping itu, Soh menggesa penyambungan semula permohonan dan kelulusan pekerja asing untuk memenuhi keperluan pekerja yang dipacu pasaran.
"Penghentian sepenuhnya dan menyeluruh dalam proses permohonan dan kelulusan pekerja asing akan memperhebat persekitaran perniagaan yang mencabar untuk industri pada masa ini yang boleh memberi kesan kepada pertumbuhan industri dan ekonomi kita secara amnya," ujar beliau. - DagangNews.com

