hamden19/08/2026 - 16:30 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Ogos - Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan memasukkan ciri terpilih cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ke dalam sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi menangani isu cukai berlapis dan tekanan kos yang ditanggung sektor perniagaan.
Presiden FMM, Jacob Lee Chor Kok berkata, mekanisme kredit cukai input yang direka dengan baik boleh menangani isu tersebut dari peringkat awal dengan membolehkan cukai yang layak dibayar ke atas input perniagaan diperoleh semula.
Menurutnya, pendekatan itu lebih berkesan berbanding bergantung kepada pengecualian berulang dan langkah pembetulan selepas pelaksanaan cukai.
“Inilah sebabnya FMM melihat terdapat manfaat dalam cadangan kerajaan untuk memasukkan ciri-ciri baik GST ke dalam SST, khususnya mekanisme kredit cukai input,” katanya dalam satu kenyataan.
FMM mencadangkan kerajaan memperkenalkan mekanisme kredit atau tolakan cukai input secara sistematik bagi cukai jualan dan perkhidmatan yang layak dikenakan ke atas input perniagaan.
Ia termasuk bahan mentah, mesin, logistik, sewaan kilang, pembinaan serta perkhidmatan perniagaan lain yang layak bagi mengelakkan cukai tersebut menjadi kos pengeluaran kekal.
Pada masa sama, FMM mencadangkan pelbagai pengecualian dan pelepasan mengikut kategori digantikan dengan mekanisme kredit atau rebat yang lebih sistematik bagi mengurangkan kesan cukai ke atas cukai sepanjang rantaian bekalan.
Mekanisme Bayaran Balik Yang Boleh Dipercayai
Persekutuan itu turut menggesa kerajaan menyediakan mekanisme bayaran balik yang boleh dipercayai, automatik dan mempunyai tempoh masa yang jelas, termasuk bayaran balik segera bagi lebihan kredit yang telah disahkan.
Menurut FMM, mekanisme tersebut amat penting khususnya kepada pengeksport dan pengilang berintensifkan modal yang berdepan keperluan modal kerja lebih tinggi.
FMM turut mencadangkan supaya barangan keperluan dilindungi daripada cukai tersirat melalui kaedah kadar sifar ala GST atau mekanisme kredit, rebat atau bayaran balik yang setara.
“Cukai jualan dan perkhidmatan yang layak dikenakan dalam pengeluaran dan penghantaran barangan eksport juga perlu boleh dikreditkan, direbatkan atau dibayar balik bagi memastikan eksport tidak menanggung cukai,” katanya.
Dalam usaha meningkatkan kecekapan sistem tersebut, FMM berkata infrastruktur e-Invois perlu dimanfaatkan bagi menyokong pengesahan transaksi, meningkatkan keterlihatan urus niaga dan memperkukuh kawalan penipuan.
FMM turut mahu persekutuan serta badan industri yang terlibat dilibatkan sejak peringkat awal dalam kajian, reka bentuk, pelaksanaan dan peralihan sistem bagi memastikan rangka kerja cukai baharu dapat berfungsi dengan berkesan merentasi sektor.
Lee berkata FMM mengiktiraf hasrat kerajaan untuk mengekalkan SST sebagai sistem asas percukaian pada peringkat ini, namun ciri terbaik GST yang dapat mengelakkan cukai input terkumpul sepanjang rantaian bekalan perlu diberi keutamaan.
“Keutamaan perlu diberikan kepada penggabungan ciri-ciri GST yang menghalang cukai ke atas input perniagaan daripada terkumpul sepanjang rantaian bekalan, khususnya kredit cukai input, layanan berkesan terhadap barangan keperluan dan eksport serta mekanisme bayaran balik yang boleh dipercayai,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata kerajaan terbuka untuk mengkaji penggabungan ciri terpilih GST ke dalam rangka kerja SST sedia ada.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata SST akan kekal sebagai asas sistem percukaian negara, manakala kerajaan tidak berhasrat mengenakan cukai berasaskan luas kepada rakyat pada peringkat ini. - DagangNews.com




