FMM jangka ekonomi Malaysia sederhana 3.5%-3.6% pada 2H2025 ekoran cabaran domestik dan global

LocalBusiness & Finance
4 Sep 2025 • 3:02 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

FMM jangka ekonomi Malaysia sederhana 3.5%-3.6% pada 2H2025 ekoran cabaran domestik dan global

image is not available

04/09/2025 - 15:02

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Sept – Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menjangkakan pertumbuhan ekonomi negara sederhana kepada sekitar 3.5%-3.6% pada separuh kedua 2025 (2H2025), sejajar dengan cabaran domestik dan luaran yang semakin mencabar.

Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, tempoh akhir tahun dijangka lebih mencabar khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dengan pertumbuhan perlahan menekan prestasi keseluruhan ekonomi.

“Justeru, kadar pertumbuhan tahunan dijangka lebih hampir kepada paras bawah unjuran rasmi kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pandangan itu diluahkannya menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) yang dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75%.

Terdahulu, BNM telah menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia kepada antara 4% dan 4.8% berbanding unjuran asal 4.5%-5.5%, lebih perlahan daripada pencapaian 5.1% pada 2024.

Tambahnya, peningkatan kos perniagaan akibat rasionalisasi subsidi, peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), tarif utiliti serta kenaikan gaji memberi tekanan ketara kepada pengeluar, terutamanya PKS.

“Sektor pembuatan sudah menunjukkan tanda perlahan apabila hanya berkembang 3.7% pada suku kedua 2025 berbanding 4.1% pada suku pertama.

“Berdasarkan tekanan kos, margin keuntungan yang mengecil dan permintaan berkurangan, terdapat asas kukuh untuk menjangkakan kelemahan berterusan dalam sektor pembuatan, sekali gus mengekang sumbangannya kepada pertumbuhan ekonomi,” jelasnya.

image is not available

Dari sudut luaran, prospek global kekal tidak menentu dengan isu perdagangan, dasar kabur Amerika Syarikat (AS), pertumbuhan perlahan di AS dan China serta konflik berterusan yang melonjakkan kos minyak dan pengangkutan.

IMF mengunjurkan ekonomi dunia berkembang hanya 3% pada 2025, lebih rendah daripada 3.3% tahun lalu dan di bawah purata pra-pandemik 3.7%.

Bank Dunia pula lebih berhati-hati dengan jangkaan 2.3% yang terendah sejak 2008 kecuali tempoh kemelesetan global.

Walaupun begitu, Malaysia masih mencatat pertumbuhan 4.4% pada 2Q2025, dipacu sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.

Pasaran buruh terus kukuh dengan kadar pengangguran susut kepada 3%, manakala gaji nominal dan sebenar masing-masing meningkat 3.4% dan 2.1% tahun ke tahun.

Mengulas lanjut, beliau berkata, permintaan domestik yang stabil akan terus menyokong ekonomi, disokong kenaikan gaji minimum, pemberian tunai bersasar dan projek nasional pelbagai tahun.

“Permintaan domestik yang stabil, inflasi sederhana, pasaran buruh kukuh serta pelaksanaan dasar yang berkesan boleh menyediakan daya tahan untuk menghadapi ketidaktentuan global dan mengekalkan momentum pemulihan ekonomi,” katanya. - DagangNews.com

standard