Fokus ekonomi, pendidikan berkualiti kembalikan kekuatan dunia Islam - Anwar

LocalPolitics
27 Feb 2025 • 6:12 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anwar ketika berucap pada sesi ramah mesra bersama Pelajar Al-Bukhary International University (AIU) di sini pada Khamis.

ALOR SETAR – Kerajaan perlu menggunakan kuasa yang ada untuk memberi fokus kepada ekonomi dan pendidikan berkualiti bagi mengembalikan keyakinan diri dan kekuatan masyarakat terhadap dunia Islam yang mengalami defisit kepercayaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Anwar berkata, dunia Islam kini didapati berdepan dengan defisit kepercayaan yang membelenggu perjuangan, pengorbanan dan sumbangan sebenar kepada masyarakat.

"Kita melihat ramai pemimpin yang mengumpul kekayaan di luar batas kemampuan mereka.

"Jika dunia mengikut peraturan, tidak akan ada penindasan, penjajahan, eksploitasi, dan penghinaan terhadap Gaza dan Palestin tetapi kita melihat kemerosotan nilai kemanusiaan," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika berucap pada sesi ramah mesra bersama Pelajar Al-Bukhary International University (AIU) di sini pada Khamis.

Beliau menambah, dunia Islam kini tidak berdaya apabila ada pengeboman dan pembunuhan kanak-kanak setiap hari tetapi tiada kesan besar kerana faktor kemiskinan.

"Kita tidak menumpukan kepada pendidikan dan teknologi, kita sibuk berbalah sesama sendiri," katanya.

Sehubungan itu beliau berkata, pelajar diseru untuk memainkan peranan aktif dalam bidang ilmu demi membawa perubahan kepada masyarakat dan negara.

"Oleh itu para pelajar, anda perlu membaca dan memahami lebih baik daripada generasi terdahulu. Untuk apa? Untuk membawa perubahan kepada masyarakat, negara dan dunia," katanya.

Beliau berpandangan, pelajar perlu menggunakan peluang ini sebaik mungkin dan memahami ilmu dengan betul terutamanya sebagai Muslim.

Tambahnya, pendidikan dan penguasaan ilmu tidak seharusnya bersifat utilitarian semata-mata, tetapi perlu didorong oleh kecintaan terhadap keilmuan bagi membentuk masyarakat yang lebih bijaksana dan berakhlak.

Beliau berkata, umat Islam perlu menumpukan kepada inovasi, penyelidikan, kecerdasan buatan, dan pengajian perniagaan sebagai bidang utama dalam menimba ilmu.

"Dunia sebenar bukan di sini. Dunia sebenar berada di luar sana, penuh dengan cabaran dan kesukaran.

"Oleh itu, kita mesti jelas bahawa inovasi, penyelidikan, kecerdasan buatan, dan pengajian perniagaan adalah bidang yang perlu kita terokai dalam menimba ilmu," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memuji AIU sebagai institusi yang memberi peluang kepada pelajar daripada latar belakang kurang berkemampuan untuk mendapatkan pendidikan berkualiti.

Anwar berkata, AIU telah banyak berjasa sebagai pemain korporat dan institusi keluarga atas komitmen memberi yang terbaik kepada pelajar.

"Universiti seperti AIU penting kerana sejak awal, ia diasaskan untuk memberi peluang kepada mereka yang terpinggir," katanya.