
SHAH ALAM, 3 JUN: Dato’ Seri Amirudin Shari menafikan bakal mengosongkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua bagi memberi laluan kepada individu lain.
Sebaliknya beliau menegaskan mahu terus melengkapkan pentadbiran penggal ini selaku Menteri Besar Selangor dengan sempurna dan damai, seiring dengan pandangan parti.
Naib presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu turut mengesahkan tiada tawaran untuk menyertai barisan Kabinet setakat ini.
“Kalau ditanya pandangan peribadi dan juga saya percaya (ini) pandangan parti. Secara keseluruhan bahawa kita hendak melengkapkan penggal ini dengan dengan sempurna dan damai.
“Ada beberapa kerja dan tugasan yang kita perlu lengkapkan. Ada perkara dalam perancangan rangka kerja yang lebih bermanfaat kepada kerajaan dan parti,” katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Penyerahan E-Bike Kepada Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontijen Selangor, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata tindakan mengosongkan kerusi untuk memberi laluan kepada individu lain bukanlah perkara yang mudah kerana memerlukan penelitian yang jitu.
“Fokus penting sekarang adalah meluruskan balik kepimpinan dan beri tumpuan kepada isu keutuhan kerajaan, negeri dan Sabah,” katanya.
Berhubung kekosongan jawatan menteri susulan peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, beliau yakin perkata itu dapat diselesaikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya rasa itu kebijaksanaan perdana menteri bersama pimpinan perpaduan untuk mengisi posisi yang telah dikosongkan,” katanya.
The post Fokus habiskan penggal ini, Amirudin nafi kosongkan kerusi Sungai Tua appeared first on Selangorkini.

