Fokus ibadat bukan dengan berpesta makanan

LocalFood
6 Mar 2026 • 9:15 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan mendedahkan kira-kira 15 hingga 20 peratus lonjakan pembaziran makanan direkodkan sepanjang Ramadan berbanding bulan lain. Foto hiasan janaan AI

RAMADAN sepatutnya menjadi bulan penuh kesyukuran yang sinonim dengan usaha menyulam ibadah, kesederhanaan dan pengorbanan.

Namun, di sebalik kehangatan juadah berbuka dan kemeriahan bazar Ramadan, segelintir masyarakat seakan terlupa nilai itu apabila waktu berbuka tiba.

Barangkali kerana lebih 13 jam berpuasa menahan lapar dan dahaga menyebabkan sebahagian daripada kita tewas apabila melihat juadah enak di depan mata hingga tanpa sedar melakukan pembaziran.

Masakan tidak, setiap tahun jumlah sisa makanan dibuang ke tapak pelupusan terus meningkat dan jelas tidak seiring dengan tujuan suci bulan Ramadan.

Menurut data Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, jumlah sisa pepejal dikutip sepanjang Ramadan meningkat daripada 208,143 tan pada 2019 kepada 252,521 tan pada 2022, menunjukkan peningkatan sekitar 21 peratus dalam tempoh lima tahun.

Daripada jumlah itu, hampir 44.5 peratus terdiri daripada sisa makanan, demikian pendedahan Akmal Nasrullah Mohd Nasir ketika beliau menjawat jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan.

Ia membuktikan makanan yang dibazirkan bukan sahaja banyak, malah semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Laporan lain turut mendedahkan trend serupa apabila sekitar 15 hingga 20 peratus lonjakan pembaziran makanan direkodkan sepanjang Ramadan berbanding bulan lain, seperti dipetik daripada kenyataan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Mohideen Abdul Kader, yang disiarkan Sinar Harian pada Mac 2024.

Sesetengah kajian malah menganggarkan jumlah makanan yang dibuang mampu menyajikan jutaan hidangan kepada golongan memerlukan.

Di ibu negara sahaja, bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Dr Maimunah Mohd Sharif memaklumkan jumlah sisa Ramadan yang dijana pada tahun lalu mencecah 55,045.15 tan dan angka itu menunjukkan peningkatan saban tahun.

Ironinya, Ramadan yang menekankan erti kesyukuran dan pemurah terhadap sesama manusia menjadi bulan ketika pembaziran makanan mencapai tahap membimbangkan.

Pembaziran bukan sekadar isu statistik, sebaliknya mencerminkan sikap masyarakat yang kadangkala gagal menghayati makna sebenar Ramadan.

Benar, menghidangkan juadah berbuka yang pelbagai mampu membangkitkan selera, namun apabila makanan lebihan tidak diurus atau dikongsi dengan golongan memerlukan, wajar kita bertanya sejauh mana rezeki benar-benar dihargai.

Lebihan makanan juga memberi impak besar kepada alam sekitar. Menurut laman web rasmi Majlis Keselamatan Negara, sisa makanan di tapak pelupusan menghasilkan gas metana yang menyumbang kepada perubahan iklim serta mencemarkan air dan tanah jika tidak dikendalikan dengan baik.

Dari sudut lain, jumlah sisa yang tinggi meningkatkan kos pengurusan sampah dan membebankan sistem perkhidmatan awam.

Namun, di sebalik persoalan besar itu, muncul juga inisiatif positif. Program MYSaveFood berjaya menyelamatkan puluhan ribu kilogram makanan tidak terjual dari bazar Ramadan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.

Usaha berterusan turut dilaksanakan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang konsisten turun padang membudayakan pengurusan makanan berhemah sepanjang Ramadan.

Masih belum terlambat untuk masyarakat menilai semula perspektif Ramadan yang bukan sekadar ‘pesta makanan’, sebaliknya peluang memperkukuh ibadah, kesederhanaan dan empati.

*Nurulfatiha Muah ialah pencipta kandungan Sinar Harian