Fokus isu kebajikan veteran tentera - Calon PH

LocalPolitics
27 Aug 2023 • 4:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Nazri (depan, kanan) berdialog dengan veteran tentera.

MUAR - Isu kebajikan dalam kalangan veteran tentera akan terus diberikan perhatian dalam usaha mencari jalan penyelesaian bagi membantu golongan berkenaan.

Menurut calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK), DUN Simpang Jeram, Nazri Abdul Rahman, perkara itu turut melibatkan mana-mana pesakit veteran tentera yang kini terlantar sakit.

"Kita memang menjaga kebajikan terutamanya kepada golongan veteran tentera yang kini terlantar sakit.

"Insya-ALLAH kita cari jalan penyelesaian bagi membantu golongan veteran tentera ini pula.

"Malah, kita juga akan cuba sedaya upaya menyambung inisiatif 'Bakul Rahmah' sebagaimana yang diperkenalkan oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin (Ayub) kepada rakyat," katanya.

Nazri berkata demikian pada program bual bicara bersama veteran tentera di pejabat persatuan veteran tentera cawangan Muar, pada Ahad, sempena PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

Hadir sama, Ketua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Muar, Shamsuddin Rais.

Untuk rekod, kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram kosong susulan pemergian penyandangnya, Allahyarham Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu.

Sementara itu, Nazri berkata, dia juga mahu mencari jalan penyelesaian terhadap beberapa kawasan hotspot banjir di sekitar Simpang Jeram.

Katanya, perkara berkenaan juga merupakan pelan jangka panjang dalam menangani masalah banjir kilat di Simpang Jeram.

"Kalau kita tengok di DUN Simpang Jeram ini isunya adalah banjir kerana berapa hotspot masih lagi berlaku banjir.

"Kita dah buat kajian dan ia dijangka dibentangkan pada hujung Ogos nanti, " katanya.