Fokus transformasi teknologi hijau: Dengan projek keluli hijau RM20 bilion di Sogip

10 Jan 2024 • 2:12 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata Sabah kini dalam transformasi untuk menerima pakai sepenuhnya revolusi teknologi hijau dengan projek keluli hijau bernilai RM20 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (Sogip).

Menyaksikan majlis penyerahan Perjanjian Induk atau Heads of Agreement (HOA) daripada Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) kepada Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd (Esteel Sabah) bagi pembekalan 150 juta kaki padu standard sehari (mmscfd) gas asli di Menara Kinabalu, di sini, pada Selasa, beliau berkata Kerajaan Negeri mengalu-alukan pelaburan dalam produk yang memanfaatkan tenaga boleh baharu, penambahbaikkan pengurusan sisa dan menggalakkan penyelesaian yang mampan.

“Melabur dalam produk berasaskan teknologi hijau bukan sahaja sejajar dengan matlamat kemampanan global tetapi juga memanfaatkan pasaran yang berkembang pesat untuk penyelesaian mesra alam,” katanya.

Hajiji mengulangi perkara yang dibangkitkannya pada Sidang Kemuncak Global Ekonomi dan Teknologi China (GCET) di Shenzen, China, pada November lalu bahawa Sabah telah mengenal pasti beberapa industri utama yang bukan sahaja menjanjikan pulangan yang besar ke atas pelaburan tetapi juga menyumbang kepada masa hadapan yang lebih mampan dan makmur.

SPONSORED CONTENT RM20bil green steel project: Sabah on its way to adopting green technology, says Hajiji Kota Kinabalu: Chief Minister Datuk Seri Hajiji Noor said Sabah is well on its way to fully adopting the green technology revolution with a RM20 billion green steel project at the Sipitang Oil and Gas Industrial Park (Sogip). Read more “Ini menandakan keyakinan Sabah terhadap projek keluli hijau, yang juga adalah antara pelaburan yang mewakili asas pertumbuhan ekonomi dan strategi pembangunan negeri.”

Menerusi HOA tersebut, SEC akan membekalkan 100 juta kaki padu standard sehari (mmscfd) gas asli kepada kilang pembuatan keluli Esteel Sabah dan tambahan 50 mmscfd untuk penjanaan kuasa loji itu dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Beliau berkata, sumbangan penting SEC kepada projek ini menyerlahkan peranan pentingnya dalam mempromosikan inisiatif mampan dan memupuk pembangunan wilayah.

Projek Keluli Hijau adalah projek membabitkan tiga fasa yang memilih gas asli sebagai agen pengurangan berbanding kok dan arang batu, mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 70 peratus dan menjadikannya rendah karbon, cekap dan mesra alam.

Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd, anak syarikat Green Esteel Pte Ltd Singapura, telah menandatangani perjanjian pajakan tanah dengan Sabah Oil and Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC) untuk menubuhkan kilang pembuatan di Sogip di Sipitang pada November 2022.

Fasa 1 projek ini, dengan anggaran kos sebanyak USD1.93 bilion, dijangka bermula tahun ini dan siap menjelang 2026.

Projek ini dijangka mewujudkan kira-kira 2,795 peluang pekerjaan semasa fasa operasinya.

Mewakili SEC pada majlis penyerahan Perjanjian Induk ialah Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Adzmir Abd Rahman, manakala Esteel Sabah diwakili Pengarah Urusan Xu Yihang.

Turut hadir Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri, Datuk Phoong Jin Zhe; Pengerusi SEC Datuk Annuar Ayub; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong, dan Ketua Pegawai Executive, SOGDC Sdn Bhd, Datuk Harun Ismail.

Sementara itu, Annuar dalam ucapan alu-aluannya berkata bahawa SEC dan Esteel telah memulakan perjalanan untuk mendefinisi semula landskap perindustrian rantau ini.

Beliau berkata projek keluli hijau oleh Esteel Sabah menjanjikan satu revolusi dalam pengeluaran keluli - yang berteraskan kebaikan alam sekitar dan pertumbuhan inovatif.

“Penyertaan SEC dalam projek ini menandakan komitmen kami untuk menyokong amalan mesra alam dan kemajuan teknologi.

“Majlis ini bukan sekadar formaliti semata-mata tetapi komitmen dan janji kepada masyarakat dan alam sekitar kita. Tambahan pula, projek ini bukan sahaja akan meningkatkan status Sabah di persada dunia tetapi akan mengubah kehidupan ribuan orang dengan mewujudkan peluang pekerjaan dalam kedua-dua fasa pembinaan dan operasi, serta sampingan ekonomi,” katanya.

Annuar berkata, dengan SEC menjanjikan 100 mmscfd gas asli untuk Esteel Sabah dan 50 juta mmscfd lagi untuk penjanaan kuasa kepada Esteel Sabah dalam tempoh dua dekad akan datang, SEC melakukan lebih daripada memenuhi hasrat mereka kerana SEC juga mahukan pembangunan mampan untuk generasi akan datang.

Sementara itu, Phoong ketika ditemui pemberita kemudiannya berkata penyerahan HOA itu turut menjawab wakil rakyat yang bertanya mengenai pelaburan Esteel Sabah semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), sama ada ia masih diteruskan.

Beliau berkata ini (Esteel Sabah) adalah antara pelaburan terbesar memasuki Sabah, jadi pastinya terdapat banyak cabaran, termasuk bekalan gas yang telah diselesaikan melalui HOA tersebut.

“Masih terdapat beberapa kriteria lain yang perlu mereka penuhi. Tetapi saya percaya kita akan dapat menyelesaikan isu berbangkit tahun ini,” katanya, memberi jaminan bahawa pelaburan Esteel Sabah akan membuahkan hasil, sekali gus merancakkan sektor perindustrian Negeri.

Beliau berkata pembinaan kilang pembuatan Esteel Sabah dan kemudahan lain seperti jeti juga akan dimulakan tidak lama lagi, memandangkan Esteel telah pun mendapat kelulusan daripada Majlis Daerah Sipitang.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

View Original Article