foodpanda, Aeon jalin kerjasama strategik tingkatkan pengalaman penghantaran pantas di Malaysia
zulfadli
05/10/2023 - 18:18
KUALA LUMPUR 5 Okt - foodpanda Malaysia dan Aeon Co (M) Bhd mengumumkan kerjasama strategik bagi memperluaskan lagi penawaran nilai kepada pelanggan di Malaysia.
Melalui kerjasama ini, pengguna foodpanda dapat membeli hampir 13,000 barangan dari 30 gedung, yang terdiri daripada 8 Aeon MaxValu, 10 Aeon Wellness dan 12 cawangan Daiso di dalam aplikasi tersebut.
Barangan itu juga boleh dibeli pada harga mampu milik sama seperti di dalam kedai, yang mana barang yang dibeli akan dihantar terus kepada pelanggan dalam masa hanya 30 minit.
Naib Presiden Quick-Commerce foodpanda, Raphael Zennou berkata, kerjasama dengan Aeon dalam foodpanda menandakan satu pencapaian penting dalam usaha mereka untuk menyampaikan pengalaman membeli-belah atas permintaan yang holistik kepada pelanggan.
Beliau berkata, sebagai perintis 'q-commerce' Asia, kerjasama ini adalah satu lanjutan semula jadi terhadap penawaran barangan runcit foodpanda yang sedia ada.
Katanya, pelanggan boleh mengakses rangkaian luas produk di hujung jari mereka menerusi kedai-kedai foodpanda, dengan hampir 7,000 kedai lain dan sejumlah 4.7 juta inventori untuk penghantaran barangan keperluan isi rumah yang pantas.
"Dengan ini, rakyat Malaysia kini boleh menikmati pengalaman membeli-belah barangan runcit yang fleksibel dengan foodpanda. Pelanggan juga boleh membuat pra-pesanan, memilih masa penghantaran mereka, dan mendapatkan cadangan yang diperibadikan berdasarkan kepada pilihan mereka," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Timbalan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Operasi Aeon, Naoya Okada berkata, pihaknya meningkatkan komitmen untuk membawa kemudahan ke Malaysia menerusi kerjasama dengan foodpanda, yang turut menjadi bukti kepada potensi pihaknya yang semakin berkembang di negara ini.
"Ketika ini, Aeon mempunyai 2.47 juta ahli. Kami tidak sabar untuk memanfaatkan pangkalan pelanggan foodpanda yang meluas bagi memberikan pengalaman membeli-belah yang serba lancar dan menjimatkan masa kepada rakyat Malaysia, di samping memenuhi janji jaminan harga serupa kami di dalam aplikasi foodpanda dan di gedung," katanya.
Aeon bertekad untuk terus mengembangkan kehadirannya dalam aplikasi foodpanda bagi memberikan perkhidmatan kepada lebih ramai pelanggan dalam talian, dengan rancangan untuk mengembangkan gedung Aeon Wellness dan Daiso yang selebihnya.
Ia akan memperluaskan lagi jejak perdagangan pantas atau q-commerce AEON sambil membantu melancarkan pengalaman membuat pesanan dan menyediakan perkhidmatan penghantaran terus kepada pengguna.
Usaha ini dijayakan selaras dengan peningkatan aktiviti membeli-belah dalam talian di Malaysia. Dengan kadar penembusan jalur lebar mudah alih sebanyak 132% dan pertumbuhan tahun ke tahun penerimaan e-dagang sebanyak 10.4%2 direkodkan pada suku pertama 2023, membeli-belah dalam talian telah menjadi salah satu aspek penting dalam kehidupan rakyat Malaysia. - DagangNews.com



