Forecast USD: Siri Letupan Kapal Pacu Sokongan, Fokus CPI AS

Business & Finance
9 Sep 2026 • 5:58 PM MYT
Intraday
Intraday

Media Pasaran Kewangan No.1 dalam Bahasa Malaysia

Forecast USD: Siri Letupan Kapal Pacu Sokongan, Fokus CPI AS

Indeks Dolar AS (DXY) kekal bergerak dalam tekanan pada Rabu apabila pelabur mengurangkan pegangan dolar menjelang siri data ekonomi penting Amerika Syarikat.

Pada masa sama, pengukuhan yen Jepun dan penurunan hasil bon AS turut mengehadkan permintaan terhadap dolar. DXY sempat jatuh ke sekitar 98.63, paras terendah hampir tiga minggu, sebelum kembali bergerak sekitar 98.77.

Sentimen pasaran turut dipengaruhi oleh perkembangan geopolitik di Timur Tengah apabila harga minyak mentah Brent melonjak menghampiri US$100 setong.

Kenaikan harga minyak meningkatkan kebimbangan terhadap inflasi dan boleh mempengaruhi semula jangkaan terhadap hala tuju kadar faedah Federal Reserve (Fed).

Data Inflasi, CPI AS Dipantau

Pasaran kini memberi perhatian kepada beberapa data ekonomi AS yang boleh menentukan hala tuju dolar dan jangkaan kadar faedah Fed.

Antaranya ialah Indeks Harga Pengeluar (PPI) bagi Ogos yang akan diterbitkan pada Khamis. PPI bulanan dijangka meningkat 0.2%, manakala PPI tahunan dijangka berada pada 5.2%. Pada hari sama, data Initial Jobless Claims juga akan dikeluarkan dengan jangkaan sekitar 205,000 tuntutan.

Tumpuan lebih besar diberikan kepada Indeks Harga Pengguna (CPI) AS pada Jumaat. Pasaran menjangkakan CPI meningkat 0.4% bulan ke bulan, manakala CPI teras meningkat 0.2%. Secara tahunan, CPI dijangka berada sekitar 3.43%, sementara CPI teras sekitar 2.4%.

Data tersebut penting kerana pasaran kini masih berbelah bahagi mengenai keputusan Fed pada mesyuarat 15-16 September. Kenyataan pegawai Fed Christopher Waller sebelum ini menunjukkan keputusan untuk mengekalkan atau menaikkan kadar masih bergantung kepada bacaan inflasi terbaru.

Pada masa sama, laporan pekerjaan AS yang lebih kukuh sebelum ini, dengan pertambahan 162,000 pekerjaan pada Ogos dan kadar pengangguran 4.1%, telah meningkatkan semula jangkaan bahawa Fed mungkin mengambil pendirian lebih ketat.

INTRADAY OUTLOOK

Berdasarkan carta DXY H1, harga masih menunjukkan struktur yang cenderung bearish selepas gagal mengekalkan momentum di atas kawasan 99.00. Pergerakan sejak awal minggu turut membentuk corak lower high dan lower low, menunjukkan tekanan jualan masih belum reda.

Ketika ini, DXY berada sekitar 98.77, dengan kawasan 98.65-98.70 menjadi sokongan terdekat. Jika harga menembusi kawasan tersebut, penurunan boleh berlanjutan ke sekitar 98.55.

Sebaliknya, jika DXY berjaya membuat lantunan, kawasan 98.85-99.00 menjadi rintangan awal. Penembusan kukuh di atas 99.00 boleh membuka ruang untuk harga menguji semula sekitar 99.15-99.20.

Bagi sesi sehingga malam ini, bias masih cenderung bearish selagi DXY kekal di bawah 99.00. Namun, ruang penurunan mungkin agak terhad kerana pasaran sudah mula mengambil posisi menjelang PPI dan CPI AS.

Dengan itu, pergerakan DXY malam ini berkemungkinan lebih berhati-hati dan banyak dipengaruhi oleh pergerakan hasil bon AS serta sentimen pasaran terhadap harga minyak. PPI pada Khamis dan CPI pada Jumaat pula dijangka menjadi pencetus yang lebih besar untuk menentukan arah dolar seterusnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved