Forest City catat 100,000 pengunjung pada Ogos didorong pemulihan sektor pelancongan
diyana
26/09/2023 - 15:24
KUALA LUMPUR 26 Sept - Forest City telah mencatatkan sekitar 100,000 pengunjung pada Ogos untuk menjalankan pelbagai aktiviti dengan taman tema air dan padang golf antara pilihan teratas.
Sejak sempadan negara dibuka selepas wabak COVID-19, hartanah serba mewah dan elit yang terletak di Gelang Patah, Johor itu tidak pernah sunyi dengan kunjungan pelancong baik dari dalam mahupun luar negara, malah dijangka lebih meriah tahun ni.
Pengurus Besar Jenama, Jualan dan Pemasaran Country Garden Malaysia-Singapura, Fang Fang berkata berikutan peningkatan jumlah pelancong, Forest City akan terus menambah baik kemudahan sedia ada untuk membina kemudahan sokongan, sekali gus menjadikan tempat itu sebagai destinasi pelancongan yang popular dengan keunikannya.

Selain itu, tambahnya, pelancongan hartanah masih merupakan salah satu strategi pemasaran yang penting untuk hartanah terbabit dan usaha itu akan terus dipergiatkan.
“Forest City akan bekerjasama dengan pemain industri pelancongan untuk menyediakan pakej pelancongan hartanah, di mana pada waktu kemuncak sebelum penularan COVID-19, Forest City menerima lebih 10 bas sehari daripada kumpulan pelancong dan pusat jualan juga sentiasa penuh dengan orang ramai,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.
Dibangunkan oleh Country Garden Pacificview Sdn Bhd, projek hartanah itu memberi tumpuan kepada sektor pelancongan dan antara tarikannya adalah taman tema air yang sering menerima pengunjung terutama pelancong domestik pada hujung minggu.

Commercial Street dan Marina Beach di Forest City juga sering menjadi pilihan penganjur, bukan sahaja untuk menjalankan pelbagai aktiviti seperti pasar lambak atau car boot sale, malahan beberapa lokasi yang dilihat ‘instagrammable’ turut dijadikan tempat bergambar oleh pengguna media sosial.
Selain itu menjadi tumpuan pelancong, Country Garden Pacificview berkata Forest City turut menjadi pilihan beberapa produksi dari dalam dan luar negara bagi penggambaran filem, drama, program dan iklan.
Antaranya adalah Prosieben TV dari Jerman (Futuristic Cites All Over The World), KBSTV dari Korea Selatan (Battle Trip Programme), penggambaran pelancaran kereta Honda Malaysia, dokumentari Sci-fi dari Austria (Hungry: Tipping The Scales) dan beberapa produksi filem tempatan.
Terbaharu adalah krew produksi program realiti TV Netflix, iaitu The Mole, yang telah selesai menjalani penggambaran kira-kira lima bulan di Forest City untuk siri kedua program. - DagangNews.com





