
SUKAU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mempertahankan keupayaan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) - Pakatan Harapan (PH) Plus dalam mentadbir dan mengurus negeri ini dengan baik.
Beliau menegaskan, kerajaan pimpinannya itu tidak gagal melaksanakan tanggungjawab dan tugasnya selaku pemerintah, meskipun dituduh sebagai kerajaan yang gagal oleh pihak lawan.
Hajiji berkata tuduhan itu tidak lebih sebagai tanggapan pihak atau puak yang tidak suka kepada kerajaan GRS-PH Plus dan enggan menerima hakikat bahawa kerajaan yang ada sekarang berjaya melakar banyak pencapaian.
“Banyak yang sudah kita buat, tapi ada yang cakap kerajaan GRS gagal. Sebenarnya kerajaan GRS tidak gagal, macam mana dikatakan gagal kalau kita mentadbir negeri ini dengan baik.
“Kita dapat tingkatkan hasil kita, melaksanakan pembangunan dan beri bantuan kepada rakyat, meningkatkan bantuan kepada pelajar seluruh Sabah dari Tingkatan Lima dan Enam sampailah ke Universiti.
“Begitu juga dengan Petronas, kita berjaya memeterai perjanjian dengan syarikat itu dan ia antara pencapaian kita.
Hajiji berkata jika Kerajaan Negeri tidak pandai mengurus negeri tidak mungkin ini semua boleh berlaku.
“Kalau kita dianggap kerajaan gagal, itu cuma tanggapan puak yang tidak suka kepada kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Menteri anjuran Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sukau di perkarangan Masjid Tun Juhar, di sini, Sabtu.
Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Isnin Aliasnih, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri Datuk Samad Jamri, Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Datuk Masiung Banah, Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dilantik Datuk Jaffari Waliam dan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sukau Datuk Juhari Janan.
Pada majlis itu, Hajiji turut menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf, bag sekolah kepada pelajar, kerusi roda Jabatan Kebajikan kepada para penerima dan kunci rumah SMJ kepada penerima yang layak.
Beliau turut menerima borang keahlian daripada mantan Timbalan Pengerusi Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Sabah Aksyah Nasrah bersama 11 bekas Ketua Cawangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat, berkata, beliau yakin dengan apa yang dibuat oleh kerajaan hari ini, rakyat sekali lagi akan memberi mandat kepada GRS-PH Plus, termasuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sukau pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.
“Kita bukan macam pemimpin lain yang suka fitnah dan cakap macam-macam tapi tidak melakukan apa-apa, mereka hanya bercakap kosong dan bohong setiap masa kepada rakyat.
“Saya minta rakyat di Sukau ini jangan percaya kepada pembohongan pemimpin atau puak yang tertentu ini. Kita mahu Sabah terus maju dan atas sebab itu kita perlu sokong GRS - PH Plus,” katanya.
Hajiji menambah, rakyat perlu memberi kepercayaan kepada kerajaan GRS-PH Plus pada PRN akan datang dan meyakini gabungan itu akan memenangi pilihan raya itu nanti.
“Kita adil kepada semua kaum dan masyarakat tanpa mengira asal usul mereka dan Insya Alllah kalau diberi peluang, kita akan teruskan kemajuan yang kita rancang melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) termasuk di Sukau, Lamag dan Kuamut di Kinabatangan,” katanya.
Bercakap kepada media selepas itu, Hajiji mengulangi keyakinannya terhadap keupayaan Gagasan Rakyat dan parti komponen dalam kerajaan sekarang mencapai yang terbaik selama menjadi kerajaan.
Beliau juga yakin rakyat akan memberi peluang kepada kerajaan pimpinannya untuk meneruskan usaha membangun dan membawa bermacam kebaikan ekonomi dan kesejahteraan kepada rakyat Sabah.
Mengenai Sukau yang kini berstatus daerah kecil, Hajiji menyatakan keyakinannya untuk melihat daerah kecil itu membangun dengan lebih pesat lagi menerusi pentadbiran Pejabat Daerah Kecil yang baharu, khususnya sektor pelancongan yang menjadi kekuatan ekonomi daerah ini.
Sementara itu, Juhari berkata terdapat pembangunan yang lebih tertumpu di daerah kecil Sukau selaras dengan aspirasi rakyat, dan harapan mereka direalisasikan di bawah kepimpinan Hajiji.
Beliau turut menyatakan penghargaan kepada Hajiji kerana menjadikan perkara ini satu kenyataan.
Mengenai pembangunan Sukau, Juhari berkata pembinaan jambatan kedua Sukau amat penting bagi memastikan lebih banyak pembangunan untuk penduduk tempatan dan Sukau.
Katanya, jambatan itu tidak akan mengganggu ekosistem hidupan liar tempatan dan akan menyediakan akses jalan raya kepada penduduk serta pengguna di kawasan sekitar.
Beliau berharap kerajaan akan meneliti semula pembinaan Jambatan Kedua Sukau demi kesejahteraan rakyat, selain membolehkan pengunjung—terutama dari ladang-ladang berhampiran—melawat Sukau dan merancakkan ekonomi setempat.

