Funding Societies raih dana RM35.8 juta daripada Norfund, penuhi keperluan modal PKS di Asia Tenggara

Business & FinanceStartup
2 Nov 2023 • 11:37 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Funding Societies raih dana RM35.8 juta daripada Norfund, penuhi keperluan modal PKS di Asia Tenggara

zulfadli

02/11/2023 - 11:37

KUALA LUMPUR 2 Nov - Funding Societies, platform pembiayaan digital perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bersepadu terbesar di Asia Tenggara, meraih dana hutang berjumlah AS$7.5 juta (RM35.8 juta) daripada Norfund.

Norfund merupakan sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) yang mengendalikan dana pelaburan milik kerajaan Norway untuk negara-negara membangun.

Ia adalah transaksi hutang pertama antara Norfund dengan syarikat teknologi pembiayaan kewangan (fintech) PKS di Asia Tenggara.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Funding Societies dan Modalku, Kelvin Teo berkata, pihaknya berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan Norfund, yang disokong oleh kerajaan Norway.

"Pencapaian ini bukan sahaja menjadi bukti kepada trek rekod kredit kami di sepanjang tempoh COVID-19 dan ketidaktentuan makro, tetapi juga merupakan peluang yang tepat pada masanya untuk memenuhi keperluan modal pertumbuhan PKS yang kurang mendapat perhatian di Asia Tenggara.

"Kami amat menghargai sokongan Norfund dalam usaha merealisasikan misi dan komitmen kami untuk memberi peluang yang adil kepada PKS," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Perniagaan yang dikategorikan sebagai perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) membentuk 99.9% daripada jumlah syarikat yang berdaftar di rantau ASEAN, dan menyumbang sebanyak 44.8% keluaran dalam negara kasar (KDNK) di rantau itu.

image is not available
Kelvin Teo (kiri) dan Pengarah Serantau (Asia) Norfund, Fay Chetnakarnkul

Transaksi pembiayaan hutang ini akan bertindak sebagai sebuah jambatan, melalui Funding Societies, untuk dana yang diuruskan oleh Norfund antara sektor awam dan swasta dalam menggerakkan jangkauan pelaburannya agar dapat menembusi lebih jauh ke dalam Asia Tenggara, termasuk Malaysia.

Funding Societies, dalam misinya untuk memperkasakan PKS dan memberikan akses kredit yang lebih meluas kepada mereka, telah berjaya meraih lebih daripada AS$3.2 bilion (RM15.3 bilion) dalam bentuk pembiayaan perniagaan untuk kira-kira 100,000 PKS di seluruh rantau ini.

Menerusi pengumpulan dana hutang ini, pembiaya fintech itu akan dapat menyalurkan dana tersebut melalui rangkaian penyelesaian pembiayaan yang disesuaikan kepada segmen PKS di kelima-lima pasaran yang mana ia beroperasi. - DagangNews.com