Funding Societies tawar nota pelaburan patuh syariah sulungnya perkukuh pembiayaan PMKS

Business & Finance
21 Jun 2023 • 2:46 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Funding Societies tawar nota pelaburan patuh syariah sulungnya perkukuh pembiayaan PMKS

diyana

21/06/2023 - 14:46

KUALA LUMPUR 21 Jun - Platform kewangan digital Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bersepadu terbesar di Asia Tenggara, Funding Societies memperkenalkan Nota Pelaburan Islam Terjamin (GN-i).

Menurut satu kenyataan hari ini, tawaran baharu tersebut diperkenalkan susulan pelancaran tiga penyelesaian pembiayaan Islam komprehensif Funding Societies baru-baru ini.

Dengan memperkenalkan pilihan patuh Syariah untuk PKS dan pelabur, Funding Societies berhasrat menyumbang kepada pembangunan ekosistem pasaran modal Islam seperti yang dibayangkan oleh Suruhanjaya Sekuriti.

Ketua Negara Funding Societies Malaysia, Chai Kien Poon berkata produk pelaburan terjamin patuh Syariah pertamanya membuka peluang kepada pelabur untuk mempelbagaikan portfolio mereka dengan pelaburan terjamin patuh Syariah.

“Ini seterusnya membantu merapatkan jurang pembiayaan PKS pada RM90 bilion dengan menyokong PKS tempatan mengembangkan perniagaan mereka,” kata beliau.

image is not available
Chai Kien Poon

Funding Societies menyediakan pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui nota pelaburan yang dibiayai oleh pelabur runcit, bernilai tinggi dan institusi.

Pembayaran daripada PKS, termasuk prinsipal dan pulangan, dikutip oleh platform dan diagihkan kepada pelabur mengikut jadual yang dipersetujui, yang boleh dilanjutkan sehingga 24 bulan.

Funding Societies telah mengeluarkan lebih RM2 bilion dalam pembiayaan di Malaysia sejak penubuhannya pada 2017, menawarkan PKS penyelesaian modal tanpa kerumitan.

“Selain menyediakan pembiayaan yang boleh diakses oleh PKS yang kurang mendapat perkhidmatan kredit, kami telah menetapkan jumlah pelaburan minimum yang rendah untuk pelabur kami.

“Bermula serendah RM100 setiap nota, pelabur boleh menikmati pulangan kasar terjamin sehingga 8% setahun,” tambah Kien Poon.

Menurut Funding Societies ,GN-i mengikut prinsip murabahah komoditi melalui susunan Tawarruq, digabungkan dengan kontrak kafalah (jaminan). Jika berlaku kemungkiran PKS, entiti penjamin menanggung obligasi pembayaran dan memberi pampasan kepada pelabur sewajarnya.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang di fundingsocieties.com.my/guaranteed-islamic-investment-notes?lang=ms. -DagangNews.com