Futuremakers, Mereka Innovative Education perkasa usahawanan wanita dengan pembiayaan permulaan AS$100,000

19 Sep 2023 • 3:56 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Futuremakers, Mereka Innovative Education perkasa usahawanan wanita dengan pembiayaan permulaan AS$100,000

diyana

19/09/2023 - 15:56

KUALA LUMPUR 19 Sept - Futuremakers oleh Standard Chartered dan Mereka Innovative Education (Mereka) telah memperkenalkan program wanita dalam keusahawanan (WiE) dalam usaha memperkasakan usahawan wanita di Malaysia dengan memperuntukkan pembiayaan permulaan bernilai AS$100,000.

Menurut satu kenyataan media hari ini, program WiE bertujuan untuk melengkapkan organisasi dipimpin wanita tempatan, yang telah membangunkan produk minimum berdaya maju (MVP) dan memiliki model perniagaan yang jelas, dengan asas-asas kepintaran dalam perniagaan.

Program ini juga terdiri daripada webinar dan sesi pembentangan, menampilkan proses pemilihan kompetitif, yang hanya 20 pasukan akan layak mengambil bahagian dalam kursus latihan intensif atau bootcamp.

Dalam usaha untuk memberikan sokongan selanjutnya, lima pasukan pemenang teratas akan menerima pembiayaan permulaan daripada dana sebanyak AS$100,000 serta dibimbing oleh mentor berpengalaman dalam bidang keusahawanan selama enam bulan

Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Saadiq Malaysia, Mohd Suhaimi Abdul Hamid menzahirkan kepercayaan terhadap potensi besar usahawan wanita untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan inovasi di Malaysia.

image is not available
Mohd Suhaimi Abdul Hamid

“Melalui program ini, kami bukan sahaja mahu membantu dalam kejayaan perniagaan mereka bahkan mereka juga akan dibekalkan dengan sumber, alat dan bimbingan yang diperlukan untuk membina perniagaan yang mampan.

Kami berharap kerjasana dengan Mereka dapat membuka lebih banyak peluang kepada usahawan wanita di luar sana yang mengimpikan pertumbuhan selepas COVID-19, yang mendesak lebih daripada 176,000 usahawan di seluruh negara menggulung tikar,” ujar beliau di majlis perasmian WiE di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Mereka dan Ketua Pegawai Eksekutif Inisiatif Biji-biji, Juliana Adam menekankan kepentingan mengecilkan jurang jantina dalam keusahawanan melalui sokongan yang disesuaikan untuk usaha niaga yang diterajui wanita.

“Usahawan wanita menghadapi cabaran unik dalam mengakses sokongan dan pembiayaan untuk perniagaan mereka. WiE menangani halangan ini dengan menyediakan sumber penting dan bimbingan,” ujar beliau.

Permohonan bagi Program WiE kini dibuka dan boleh dipohon melalui laman web rasmi Women in Entrepreneurship. - DagangNews.com