johardy22/09/2026 - 11:32 Penerima geran kebajikan FWD x GivingHub 2025 telah menikmati pelbagai manfaat menerusi program celik kewangan, demonstrasi masakan sihat dan saringan kesihatan yang dijalankan. Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Sept - FWD Malaysia menyediakan geran amal kepada GivingHub bagi melaksanakan program pendidikan kesihatan, celik kewangan dan saringan kanser untuk 170 keluarga berpendapatan rendah.
Nilai geran yang diberikan kepada GivingHub, sebuah organisasi impak sosial dan kebajikan tempatan, tidak didedahkan.
Pembiayaan itu akan menyokong Program SEDIABersedia: Hari Ini. Terlindung Esok yang dirangka bagi membantu 170 keluarga dalam kumpulan B40 membina masa depan lebih sihat dan kukuh dari segi kewangan.
Program berkenaan menggabungkan pendidikan mengenai pemakanan dan gaya hidup sihat, bengkel celik kewangan serta sesi saringan dan konsultasi kanser.
Ia bertujuan meningkatkan kesedaran kesihatan, menggalakkan perubahan tingkah laku positif dan memperkukuh kesiapsiagaan keluarga menghadapi kejadian luar jangka dalam kehidupan.
Ketua Pegawai Eksekutif Negara FWD Malaysia, Aman Chowla berkata, inisiatif yang diperkenalkan bersempena ulang tahun ke-13 FWD itu mencerminkan komitmen syarikat terhadap masyarakat yang memberikan kepercayaan kepada FWD selama ini.
Menyokong komuniti kurang mendapat perkhidmatan
Beliau berkata, usaha mewujudkan impak bermakna melangkaui penyediaan perlindungan insurans dengan turut membantu masyarakat membina masa depan yang lebih sihat, berdaya tahan dan terjamin dari segi kewangan.
Menurutnya, program itu juga sebahagian daripada komitmen lebih luas FWD untuk memperkasa komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan serta menangani keperluan sebenar yang membolehkan syarikat dan rakan kongsinya menghasilkan impak positif berkekalan.
Pengarah Urusan GivingHub, Chun Wah Hoo berkata, akses kepada pengetahuan kesihatan dan celik kewangan seharusnya menjadi asas yang boleh dimanfaatkan setiap keluarga, bukan satu keistimewaan.
Beliau berkata, kerjasama itu akan membawa perkhidmatan saringan kesihatan dan kemahiran perancangan kewangan secara langsung kepada komuniti yang paling memerlukannya, selain menterjemahkan sumbangan amal kepada bantuan lebih konsisten dan praktikal.
Pada Ogos 2026, FWD Group menyambut ulang tahun ke-13 dengan mengumumkan geran amal yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 13,000 orang dalam komuniti di seluruh Asia.
Ditubuhkan pada 2013, FWD Group memulakan operasinya di Hong Kong, Macau dan Thailand sebelum berkembang sebagai syarikat insurans hayat dan kesihatan serantau yang menyediakan perkhidmatan kepada jutaan pelanggan serta keluarga mereka di 10 pasaran.
Kumpulan itu disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong pada Julai 2025 menerusi kod saham 1828. - DagangNews.com


