FWD Takaful perkenal program digital kesihatan sokongan kekuatan minda untuk rakyat Malaysia

18 May 2023 • 9:56 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

FWD Takaful perkenal program digital kesihatan sokongan kekuatan minda untuk rakyat Malaysia

zulfadli

18/05/2023 - 09:56

KUALA LUMPUR 18 Mei - FWD Takaful memperkenalkan pendekatan baharu dalam ruang kesihatan mental dengan pelancaran 'Program Sokongan FWD Mind Strength'.

Program itu merupakan penyelesaian digital kesihatan pertama di pasaran yang direka untuk membolehkan rakyat Malaysia memperkukuhkan minda mereka secara proaktif, peribadi, dan positif.

Ketua Pegawai Eksekutif FWD Takaful, Salim Majid Zain berkata, walaupun kesedaran kepentingan kesihatan mental semakin meningkat khasnya di Asia, stigma dan perbelanjaan terapi yang tinggi menghalang ramai rakyat Malaysia daripada mendapatkan bantuan yang mereka perlukan.

Katanya, mereka perlu melakukan sesuatu yang berbeza untuk mendorong rakyat Malaysia lebih proaktif dalam menjaga kesihatan mental mereka.

"Pertama, merangka semula kesihatan mental sebagai kekuatan minda, untuk menjadikannya lebih positif. Kemudian, kami bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan digital terkemuka dalam ruang kesihatan mental untuk memperkenalkan program sokongan percuma ini supaya orang ramai dapat mengakses sokongan yang diperlukan.

"Akhirnya, kami bekerjasama dengan personaliti-personaliti terkenal Malaysia yang boleh memimpin perubahan untuk membawa mesej ini kepada orang ramai dan memotivasikan rakyat Malaysia untuk memperkukuhkan minda mereka," katanya dalam kenyataan.

image is not available
Salim Majid Zain

Ketua Kumpulan Produk dan Perlindungan Kumpulan FWD, Joanna Chu pula berkata, Malaysia kini menyertai Hong Kong dan Thailand sebagai pasaran ketiga untuk memperkenalkan kekuatan minda.

Katanya, ia adalah inisiatif penting untuk kumpulan dan yakin akan memberi manfaat bukan sahaja kepada pelanggan, tetapi semua rakyat Malaysia.

"Tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-10 FWD, jadi kami amat berbesar hati meraikannya dengan menyediakan cara untuk mengukuhkan minda mereka secara proaktif, peribadi dan positif kepada orang ramai," katanya.

image is not available

Terdahulu, pelancaran ini berikutan hasil Kaji Selidik Kesihatan Mental Antarabangsa FWD Group pada 2022, yang menemu bual lebih daripada 10,000 orang di 16 pasaran antarabangsa.

Kaji selidik itu memberikan beberapa maklumat penting, termasuk 54% responden di Malaysia percaya kesihatan mental akan menjadi kebimbangan yang lebih kritikal kepada masyarakat.

Manakala, 62% pernah mengalami sendiri atau mengenali seseorang yang pernah menghadapi cabaran kesihatan mental.

Selain itu, 38% responden di Malaysia terbuka untuk mendapatkan bantuan luar apabila menghadapi cabaran kesihatan mental, selebihnya lebih suka menolong diri sendiri dan 43% mengatakan bahawa kos rawatan adalah penghalang untuk mendapatkan bantuan luar.

Program Sokongan FWD Mind Strength menawarkan peluang kepada rakyat Malaysia untuk menilai kekuatan minda mereka hanya dalam beberapa minit melalui Penilaian Kekuatan Minda, alat penilaian yang mudah dan disahkan secara saintifik yang dibangunkan Koa Health.

Laman web ini juga menempatkan Kelas Penguasaan Minda FWD, siri web yang dihoskan Pakar Psikiatri, Dr Hazli Zakaria, yang mana beliau membimbing tetamu selebriti seperti Amyra Rosli, Ikmal Amry, Nana Sheme, dan Nelissa Emielda melalui aktiviti-aktiviti membantu memperkukuhkan minda mereka. - DagangNews.com