KUALA LUMPUR - Konsultan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan, Dr Zubaidah Zabidin membantah cadangan menempatkan 1,000 doktor pelatih di hospital kerajaan bagi melicinkan operasi harian penularan koronavirus (Covid-19).
Dr Zubaidah berkata, pengumuman Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba didakwa melanggar etika perundangan kedoktoran susulan doktor pelatih itu tidak bertauliah dan tidak mempunyai Sijil Perakuan Pendaftaran Tahunan (APC) untuk rawat pesakit.
"Saya nak bagi tahu kepada orang awam bahawa doktor pelatih ini tidak bertauliah, belum mempunyai APC untuk rawat pesakit, tak ada kuasa untuk beri ubat walaupun panadol.
"Tiada guna tempatkan doktor tapi tak bertauliah kerana keputusannya tak mencapai tujuan asal permasalahan.
"Kekurangan doktor itu sepatutnya diisi dengan doktor bertauliah atau pegawai perubatan atau setara dengannya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Semalam, Dr Adham memaklumkan akan menempatkan doktor pelatih di hospital kerajaan bermula Isnin ini bagi membantu melicinkan operasi harian susulan penularan kes Covid-19.
Dr Adham memaklumkan, semua doktor pelatih itu akan menjalani latihan induksi lima hari termasuk pengendalian elemen Covid-19 sebelum memulakan tugas mereka.
Mengulas lanjut, Dr Zubaidah berkata, kerajaan digesa serius dengan menyalurkan maklumat tepat dan jelas berhubung langkah kementerian dalam menangani penularan itu.
"Saya dimaklumkan orang ramai mulai panik dan berpusu-pusu membeli stok keperluan makanan susulan kebimbangan kemungkinan kerajaan membuat pengumuman perintah berkurung susulan Covid-19 pada bila-bila masa.
ARTIKEL BERKAITAN: 1,000 doktor pelatih ditempatkan di hospital seluruh negara
"Kerajaan juga belum menjelaskan peruntukan (bentuk bantuan) Covid-19 melibatkan kos perubatan pesakit dibiayai secara percuma atau sebaliknya.
"Sepatutnya, apabila melibatkan penyakit kecemasan seperti ini, rawatan perlu diberikan secara percuma seperti yang dipraktikkan di seluruh dunia," katanya.
Jelasnya, langkah pencegahan juga perlu ditambah baik dengan mewajibkan hospital dan klinik kerajaan menyediakan topeng muka secara percuma kepada pengguna.
Beliau berkata, selain menitikberatkan aspek kebersihan dengan membasuh tangan, pemakaian topeng juga perlu diwajibkan di hospital.
"Waktu menunggu pesakit di klinik dan hospital juga perlu dipendekkan untuk mengurangkan pendedahan kepada Covid-19 melalui kecekapan dan kepantasan doktor dalam mengendalikan pesakit," katanya.
Selain itu katanya, kerajaan juga perlu menasihati pengendali kantin di hospital untuk menyaring suhu, memakai sarung tangan dan topeng muka semasa penyediaan makanan kepada orang awam.
"Saya juga nasihatkan kepada orang awam tidak bawa keluarga semasa rawatan.
"Jika seorang sakit, hanya bawa pesakit sahaja, bukan bawa seluruh keluarga," katanya.

