Gabenor BNM: Dasar makro mesti diselaras agar sepadan dengan realiti ekonomi negara

Business & Finance
8 Jun 2023 • 12:49 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Gabenor BNM: Dasar makro mesti diselaras agar sepadan dengan realiti ekonomi negara

diyana

08/06/2023 - 12:49

KUALA LUMPUR 8 Jun - Dasar makro seperti kadar dasar semalaman (OPR) mesti diselaraskan sejajar dengan ekonomi yang kukuh agar sepadan dengan realiti ekonomi negara, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.

“Walaupun kita berhadapan dengan cabaran dari luar negara, aktiviti ekonomi dalam negeri sudah melebihi paras pra-pandemi.

“Daripada gaji sebenar dan prospek pekerjaan, kepada pelaburan dan permintaan domestik, pelbagai petanda menunjukkan kekuatan relatif dalam ekonomi kita,” katanya dalam ucapan perasmian pelancaran Simposium Sasana 2023 di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut beliau, bank pusat itu mengakui bahawa walaupun ekonomi secara keseluruhan berada dalam keadaan sihat, terdapat segelintir yang masih menghadapi cabaran ekonomi.

“Bagaimanapun, memandangkan OPR adalah alat tumpul dalam memberikan kestabilan harga, lebih banyak langkah bersasar disediakan bagi membantu mereka yang menghadapi kesukaran untuk membayar balik pinjaman bulanan mereka,” tambahnya.

Mengulas mengenai prestasi ringgit, Nor Shamsiah berkata mata wang tempatan telah mengalami tekanan baharu dalam beberapa minggu kebelakangan ini, menekankan keperluan mengambil langkah, lebih daripada penyelesaian jangka pendek.

Oleh itu, beliau menekankan keperluan untuk pembaharuan struktur yang akan mengukuhkan prospek pertumbuhan negara dan menggalakkan lebih banyak peluang pelaburan bagi meningkatkan permintaan terhadap ringgit dan menjamin kenaikan nilai lebih berkekalan dari semasa ke semasa.

Di bawah kadar pertukaran fleksibel, beliau berkata adalah munasabah untuk ringgit berubah-ubah dari semasa ke semasa, di mana pelarasan ini membolehkan ekonomi domestik menyesuaikan diri dengan kejutan ekonomi dan kewangan global.

“Kita telah menyaksikan hal ini semasa pelarasan kadar faedah yang pesat dan besar oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat pada tahun lalu, menyebabkan kejutan besar kepada ekonomi global.

“Pada satu ketika, ringgit merosot sebanyak 11.5% antara akhir Mac dan awal November sebelum meningkat 7.8% menjelang akhir tahun. Namun ekonomi sebenar berkembang 8.7% dalam tahun tersebut, sebahagiaannya disebabkan peranan ringgit sebagai penyerap kejutan,” tambahnya.

Acara tersebut turut menyaksikan Nor Shamsiah secara rasmi melancarkan hubungan pembayaran QR rentas sempadan Malaysia dengan Indonesia, Singapura dan Thailand.

Bertemakan ‘Pembaharuan Struktur ke Arah Malaysia yang Lebih Teguh’, Simposium Sasana 2023 yang berlangsung sehari itu menampilkan tujuh sesi panel merangkumi pelbagai topik, daripada makroekonomi kepada isu-isu mendesak seperti penipuan kewangan, tuntutan insurans motor digital dan perlindungan sosial. -DagangNews.com