
Kota Kinabalu: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Armizan Mohd Ali mahu perpaduan sedia ada antara gabungan berkenaan dengan Pakatan Harapan (PH) diteruskan dalam pilihan raya negeri akan datang.
Ahli Parlimen Papar itu berkata walaupun kepimpinan tertinggi GRS belum membuat sebarang perbincangan mengenai formula kerjasama dalam pilihan raya akan datang namun beliau mempunyai pendiriannya sendiri.
“Sabah dan Sarawak mempunyai formula masing-masing iaitu pada hakikatnya kerajaan negeri di Sabah hari ini adalah sebuah kerajaan Perpaduan dengan acuan sendiri melibatkan gabungan GRS-PH Plus,” katanya dalam kenyataan sempena pelancaran Jelajah Wanita GRS di Kota Marudu, Sabtu.
Mengulas lanjut, Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata komposisi kerajaan Sabah hari ini iaitu GRS-PH Plus dibentuk selepas pembentukan kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
SPONSORED CONTENT Mengalum for world’s first net zero carbon island resort Taiwan’s Sinyi Group is on track to unveil the world’s first unique net zero carbon island resort on Mengalum Island. . Read more “Inilah formula kerajaan Perpaduan di Sabah. Selain Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) GRS, semua Adun PH dan beberapa Adun daripada parti lain membuat keputusan supaya Datuk Seri Hajiji Noor kekal Ketua Menteri Sabah dan GRS amat menghargai sokongan dan kebersamaan mereka,” katanya.
Beliau berkata pembentukan sesebuah kerajaan tidak seharusnya berdasarkan faktor “ikut-ikutan” atau paksaan, tetapi perlu melalui hasil muafakat dan saling kepercayaan.
“Di pihak GRS, kami juga mahu mengelak risiko sejarah berulang. Tiba pilihan raya, kami mahu membentuk kerajaan yang stabil melalui permuafakatan.
“Bukan sahaja GRS perlu percaya kepada rakan kongsi, tetapi mereka juga perlu selesa dan yakin dengan kami,” katanya.
Sementara itu, Parti Liberal Demokratik (LDP) berharap dapat bertanding kerusi Cina pada pilihan raya negeri akan datang, jika ia dibenarkan oleh pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Presidennya Datuk Chin Su Phin berkata parti itu akan meminta kerusi untuk bertanding.
“Memang kita hendak minta kerusi, tetapi kita tidak boleh memutuskan berapa banyak yang kita mahu kerana itu terpulang kepada Presiden GRS Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya selepas majlis makan tengah hari Tahun Baharu Cina LDP, di sini, Sabtu.
Beliau berkata apa yang lebih penting pada masa ini ialah perpaduan dalam GRS.
“Kami mempunyai hubungan kerja yang baik dengan semua parti komponen GRS. Walaupun kita tidak bercakap mengenai susunan dan peruntukan kerusi, LDP ingin bertanding di kerusi Cina dan bandar,” kata Chin.
“Tetapi itu bidang kuasa Ketua Menteri (Hajiji) untuk membuat keputusan,” tambahnya.
Chin berkata GRS memperjuangkan parti tempatan Sabah, dan LDP berharap untuk melihat Sabah menjadi kerajaan tempatan yang kuat seperti Sarawak.
Terdahulu semasa majlis itu, Chin berkata ia adalah sambutan besar pertama mereka selepas keluar dari pihak pembangkang dan menjadi ahli GRS awal tahun lepas.
Beliau menyebut keperluan untuk memupuk hubungan lebih erat dengan rakan, keluarga, rakan sekerja dan sekutu politik.
LDP adalah salah satu daripada lapan parti komponen Barisan Nasional di Sabah, tetapi ia menarik diri daripada gabungan itu selepas kekalahannya pada PRU14 2018.
LDP tewas di semua lima kerusi - satu parlimen dan empat DUN - yang ditandinginya ketika itu.
Pada pilihan raya negeri Sabah September 2020, LDP cuba membuat kemunculan semula apabila meletakkan 46 calon tetapi kehilangan semua depositnya.
Ia kemudiannya memohon untuk menyertai GRS dan hanya diterima pada 2023.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

