
KUALA LUMPUR - Gabungan Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) meminta kerajaan menangguhkan pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang bakal dilaksanakan penghujung bulan ini, dengan serta-merta.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Gabungan NGO yang dianggotai lapan pertubuhan itu, kerajaan juga diminta melaksanakan jawatankuasa ‘sandbox’ bagi memberi ruang untuk penambahbaikan yang menyeluruh.
Menurut gabungan itu, ini bukan kali pertama sesuatu RUU ditangguhkan atau dibatalkan setelah mendengar suara rakyat malah penangguhan sesuatu RUU demi kepentingan dan kebaikan rakyat bukan sesuatu yang luar biasa atau belum pernah berlaku di Parlimen.
“Kerajaan perlu kembali ke meja perundingan, libat urus secara telus dengan semua pemegang taruh dan pastikan akta yang bakal dikuatkuasakan kelak benar-benar melindungi nyawa pengguna dan poket pekerja, bukannya menambah karenah birokrasi dan beban kewangan,’’ katanya.

Gabungan berkenaan terdiri daripada lapan pertubuhan iaitu Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, Persatuan Rakan Penghantar Melaka, Persatuan Rakan Penghantar Kedah, Persatuan Kebajikan Perkhidmatan Penghantar Bermotosikal Perak dan Pertubuhan Tenaga GiG Melaka.
Yang lain ialah Pertubuhan Lestari Ekonomi Aktivis GiG Digital Malaysia, Persatuan Ekonomi Digital Melaka dan Persatuan Kebajikan Pekerja Industri E-Hailing Malaysia.
Dalam itu, gabungan tersebut memberitahu, kebimbangan tersebut seharusnya mendapat perhatian daripada kerajaan terutama Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) bagi memastikan tiada ruang kelemahan yang akhirnya memberi kesan negatif serta mencetuskan defisit keyakinan terhadap kerajaan pada hari ini.
Antara kebimbangan yang disuarakan ialah tindakan terburu-buru menteri Kesuma terdahulu yang mahukan RUU ini diluluskan segera di Parlimen, biarpun terdapat kelemahan dan kelompongan nyata dan ini jelas dibuktikan melalui libat urus baru-baru ini bersama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).
“Kerajaan perlu mengakui terdapat kelompongan dan kelemahan pada Akta 872 ini, lantas kami sarankan untuk mengambil tindakan bijak dengan menangguhkannya, kerana kita tidak mahu dek kerana sifat populis dan ego seorang menteri, keseluruhan penjawat awam sebagai pelaksana, dan rakyat terutama pekerja gig akan menerima impak negatif.
“Kami tidak pernah menolak atau menghalang kewujudan akta seumpama ini namun pendirian kami kekal tegas dan konsisten bahawa sebarang penggubalan perlu dilaksanakan secara menyeluruh, berlandaskan pertimbangan pelbagai aspek yang kritikal, serta tidak bersifat tergesa-gesa atau reaktif,’’ katanya.
Gabungan itu turut menuntut kerajaan meneliti dengan mendalam beberapa isu kritikal yang dikatakan masih kabur dan tidak terjawab.
Isu penglibatan Pemastautin Tetap (PR)
Menurutnya, Akta 872 membuka pintu kepada warga asing pemegang status PR dalam sektor e-hailing dan p-hailing sekali gus menambah beban lagi penguatkuasaan yang sedia ada, selain menghimpit pendapatan pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing, yang ketika ini berada pada jumlah yang tinggi.
“Sesi libat urus bersama Jawatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) pada 11 Mac lalu, 2026 mendedahkan wakil Kesuma sendiri mengakui belum lagi melihat Akta 715 sepenuhnya, walhal Akta 872 sudahpun diluluskan di Parlimen.
“Maka, apa fungsi 40 libat urus melibatkan hampir 4,000 pihak berkepentingan diadakan sebagaimana kenyataan Menteri Kesuma ketika itu,’’ soalnya.
Beban kenaikan premium insurans
Gabungan berkenaan berkata pekerja gig kini tertekan akibat kenaikan mendadak premium insurans komersial yang dianggap tidak munasabah, sehingga mencecah 178%.
Jelasnya, NGO beberapa kali berhubung dengan pihak platform, namun dimaklumkan isu ini berada di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM), bukan platform.
“Walaupun beberapa sesi libat urus dengan syarikat insurans diadakan, tiada ketetapan yang memuaskan dicapai dan keadaan ini memburukkan lagi beban kos sara hidup, terutama bagi pekerja e-hailing yang tidak menerima subsidi RON95 tambahan,’’ katanya.
Prosedur penggantungan akses sistem yang berisiko
Menurut Gabungan NGO itu, syarikat platform e-hailing kini boleh mengambil tindakan segera seperti menggantung pemandu berdasarkan aduan serius atau laporan polis bagi melindungi keselamatan penumpang.
Namun, cadangan prosedur baharu yang memerlukan sehingga 14 hari sebelum tindakan diambil dianggap membimbangkan kerana boleh melambatkan penguatkuasaan dan meningkatkan risiko keselamatan pengguna.
“Walaupun satu platform telah menggantung pemandu tersebut, individu berkenaan masih boleh beroperasi di platform lain.
“Tindakan campur tangan secara ad-hoc oleh Menteri Pengangkutan yang terpaksa mengeluarkan arahan khusus kepada pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk mengharamkan pemandu tersebut dari semua platform telah membongkarkan satu kelemahan besar iaitu sistem penguatkuasaan dan perkongsian data yang seragam secara automatik di peringkat pihak berkuasa masih gagal berfungsi,’’ katanya.
Pendedahan terhadap cukai pendapatan
Menurutnya, pengiktirafan dan pemutihan sektor gig melalui akta ini bakal mendedahkan golongan pekerja gig kepada jaringan cukai pendapatan sedangkan majoriti pemandu dan penghantar gig adalah golongan B40 dan M40.
“Memaksa struktur percukaian formal ke atas pendapatan gig yang tidak menentu dan berisiko tinggi adalah satu bentuk penindasan terancang,’’ katanya. - 19 Mac, 2026
The post Gabungan NGO desak Akta Pekerja Gig 2025 ditangguhkan ‘jangan jadikan pekerja gig bahan uji kaji’ appeared first on Scoop.
