BARU-baru ini umat Islam di negara kita digemparkan dengan satu insiden yang mengundang rasa kecewa apabila seorang ahli politik mengeluarkan kenyataan menghina beberapa sahabat Nabi Muhammad SAW yang sangat mulia.
Episod tersebut wajar menjadi pengajaran besar kepada masyarakat bahawa lidah yang tidak dipandu dengan ilmu dan adab boleh mengheret seseorang kepada fitnah, kebencian serta perpecahan.
Dalam tradisi Islam, para sahabat Rasulullah SAW, lebih-lebih lagi sahabat-sahabat yang utama, bukan sekadar tokoh sejarah.
Mereka merupakan generasi yang memikul amanah dakwah, mempertahankan agama dan menjadi penyampai agama dan sunnah kepada umat selepas kewafatan Baginda.
Oleh sebab itu, perbincangan mengenai mereka menuntut disiplin ilmu, adab dan rasa hormat, bukannya emosi, sentimen politik atau keghairahan mencari perhatian.
Lebih membimbangkan budaya politik dan media sosial hari ini sering meraikan tuduhan serta sensasi berbanding hujah.
Apa sahaja yang boleh menjatuhkan maruah pihak lawan akan cepat menjadi bahan dagangan digital, dikongsi tanpa tapisan dan disebarkan tanpa timbang rasa.
Dalam konteks ini, pandangan mantan Ahli Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan, Dr Kamilin Jamilin dalam temu bual bersama akhbar ini baru-baru ini wajar direnungi.
Beliau mengingatkan dua perkara yang sangat memalukan seseorang ialah tuduhan berkaitan dengan seksual dan penyelewengan wang.
Kedua-dua bentuk dakwaan yang sangat mudah untuk mencemarkan nama seseorang walaupun belum tentu benar.
Hakikatnya, masyarakat sering lebih cepat menghukum apabila melibatkan dua isu tersebut.
Tuduhan moral dan kewangan mampu menghancurkan reputasi yang dibina bertahun-tahun hanya dalam sekelip mata.
Malangnya dalam dunia digital hari ini, tidak lagi ramai yang bertanya: “Benarkah?” tetapi lebih ghairah untuk menularkannya terlebih dahulu.
Lidah, tulisan dan perkongsian di media sosial bukan bebas tanpa hisab, sebaliknya setiap tutur kata, patah perkataan dan klik perkongsian itu akan dipersoalkan kelak.
