
KIULU: Tindakan sekeluarga menggunakan jambatan gantung uzur untuk membawa seorang warga emas mendapatkan rawatan bukan dibuat kerana mengambil risiko secara sengaja sebaliknya didorong faktor kecemasan dan keperluan mendapatkan bantuan perubatan secepat mungkin.
Penduduk Kampung Dolungan Bolotikon, Jerry Wilfred, 44, berkata video tular yang memaparkan ahli keluarga menggendong bapa mertuanya menyeberangi jambatan berkenaan berlaku ketika warga emas berkenaan mengalami kecemasan dan perlu segera dibawa ke Hospital Queen Elizabeth II (HQEll), Kota Kinabalu.
Jerry menyatakan walaupun menyedari keadaan jambatan itu berbahaya namun laluan terbabit merupakan pilihan paling pantas kerana hanya mengambil masa kurang lima minit untuk sampai ke jalan yang boleh dilalui kenderaan.
“Menggunakan jambatan gantung alternatif akan mengambil masa hampir 30 minit berjalan kaki sebelum dapat menaiki kenderaan sekali gus dikhuatiri menjejaskan keadaan bapa mertuanya.
“Insiden ini menggambarkan kesukaran yang dihadapi penduduk kerana jambatan uzur berkenaan masih menjadi laluan utama dua keluarga untuk keluar masuk kawasan penempatan mereka,” katanya.
Difahamkan jambatan yang menghubungkan Kampung Bolotikon dengan kawasan Dolungan itu mengalami kerosakan serius selepas tiang simen condong daripada kedudukan asal akibat hakisan tebing sungai.
Keadaan itu menyebabkan kabel dan jejaring dawai (BRC) menjadi longgar manakala sebahagian papan lantai tercabut sehingga membahayakan pengguna.
Menurut Jerry masalah terbabit mula berlaku selepas hujan lebat berterusan tahun lalu yang menyebabkan paras Sungai Kampung Dolungan Bolotikon meningkat dan hakisan tanah semakin teruk.
“Pada Februari tahun ini hakisan menjadi lebih serius dan kami telah membuat aduan kepada pihak berkaitan.
“Bagaimanapun sehingga kini kerja pemasangan gabion bagi menghalang hakisan masih belum dilaksanakan,” ujarnya.
Jerry menambah hakisan berterusan menyebabkan tiang simen di hujung jambatan mendap sekali gus mengakibatkan struktur jambatan semakin rosak.
Selain merupakan antara laluan keluar masuk bagi dua keluarga yang menetap di kawasan berkenaan kerana tiada akses jalan raya ke rumah penduduk, jambatan sama turut digunakan sebagai laluan ke kebun.
“Walaupun jumlah penduduk di sini tidak ramai tetapi jambatan ini sangat penting.
“Keadaannya sekarang sangat membimbangkan kerana bila-bila masa sahaja boleh mengancam nyawa pengguna,” jelasnya.
Jerry turut memaklumkan bahawa dia terpaksa memindahkan anak lelakinya yang berusia tujuh tahun dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pukak, Kiulu ke Penampang berhampiran kampung halamannya kerana bimbang akan faktor keselamatan.
Beliau berharap pihak berkaitan dapat menyelesaikan isu berkenaan bagi menjamin keselamatan penduduk terutama ketika berlaku kecemasan yang memerlukan tindakan pantas.
Sementara itu Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kiulu Justin Ginduk menggesa penduduk supaya tidak lagi menggunakan jambatan gantung uzur di Kampung Dolungan Bolotikon demi keselamatan sebaliknya menggunakan laluan alternatif yang disediakan.
Menerusi kenyataan akaun laman sosial Facebook peribadi beliau berkata pihaknya telah memberi maklum balas berhubung isu jambatan berkenaan sebelum ini dan sekali lagi tampil menjelaskan keadaan sebenar susulan penularan video itu.
Menurut Justin pembinaan semula jambatan berkenaan hanya boleh diteruskan selepas mendapat kebenaran daripada pemilik tanah yang terlibat termasuk bagi kerja membuka pagar di kawasan laluan berkenaan.
