
Gadis Berdepan Detik Cemas, Dipatuk Ular Tedung Ketika Bersihkan Plastik "Parcel"
Kini, kebanyakan orang lebih gemar membeli-belah secara dalam talian kerana ia lebih mudah dan murah. Semua jenis barangan dan keperluan boleh dibeli, dari sekecil jarum sehingga ke sebesar almari.
Kadang kala, apabila bungkusan atau parcel yang dibeli tiba, ia juga bagaikan 'kejutan' atau 'hadiah' daripada diri sendiri.
Bagaimanapun, seorang remaja perempuan di Jawa Tengah, Indonesia baru-baru ini berdepan detik cemas apabila dipatuk oleh ular tedung selepas membuka kotak bungkusan yang dibelinya.
Memetik CNN Indonesia, remaja itu membeli karpet dalam talian dan tiba di rumahnya pada 26 Januari.
Selepas membuka bungkusan tersebut, dia kemudian membersihkan sisa plastik yang tinggal.
Rupa-rupanya seekor ular tedung kecil telah bersembunyi di dalam timbunan plastik yang dibuang dan kemudian menggigitnya.
"Bungkusan itu tiba sekitar jam 4 petang. Kelihatan seperti ada lubang di bahagian atas, seolah-olah sedikit terbuka.
"Siku kirinya digigit, rasanya sakit, pedih dan panas, seperti digigit ular berbisa, dia menjerit kesakitan" kata kakak kepada mangsa.
Mangsa telah dikejarkan ke Hospital Daerah Ir Soekarno Sukoharjo dan telah menjalani pembedahan serta dirawat selama beberapa hari di sana.
Sementara itu, Pengerusi Exalos Indonesia, Janu Wahyu Widodo menyatakan bahawa beliau telah melawat dan mengagihkan hasil kutipan dana kepada mangsa di hospital.
Berdasarkan kenyataan mangsa, pasukannya menyimpulkan bahawa ular itu bukan berasal dari bungkusan tersebut.
Baca juga:"Banyak fakta yang kami dapatkan saat mengunjungi mangsa gigitan ular. Setelah mangsa bercerita, saya menyimpulkan bahawa ular bukan dari bungkusan, tetapi dari rumah," katanya.
Menurut maklumat yang diterimanya, terdapat jarak kira-kira satu jam antara mangsa membuka bungkusan dan ketika sisa plastik dibuang.
Dalam tempoh tersebut, ular yang dipercayai berada di dalam rumah itu merayap masuk ke dalam timbunan sisa plastik.
"Gambar yang tular itu menunjukkan seekor ular yang dibalut dengan pita pelekat. Kemungkinan besar ia tersangkut pada pita pelekat di atas lantai selepas membuka kotaknya dan menggigit sejam kemudian apabila plastik pembungkus itu dibuang," katanya.
Janu turut melahirkan rasa kesal atas kesilapan dalam pertolongan cemas yang memburukkan lagi keadaan mangsa.
Mangsa dikatakan telah diurut oleh jirannya sehingga berdarah dan menggunakan air panas. Kemudian, bahagian sikunya diikat.
"Punca keadaan mangsa menjadi lebih serius sehingga terpaksa menjalani pembedahan dan menggunakan 12 botol antivenom adalah disebabkan oleh kesilapan awal dalam merawat gigitan tersebut," katanya.


