Gadis curi kad ATM rakan diberkas polis

14 Apr 2023 • 12:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Padah mencuri kad ATM dan menggunakan wang milik rakan sendiri untuk membeli telefon bimbit berjenaman serta pelbagai kegunaan lain sebelum menghilangkan diri sejak 23 Mac lalu, seorang gadis akhirnya diberkas pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya sebelum ini menerima laporan daripada mangsa berkenaan pengurangan wang di dalam akaun bank miliknya sebanyak RM8,200.

"Siasatan mendapati transaksi ini bermula pada 23 Mac secara berperingkat.

"Siasatan kemudiannya dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, suspek berusia 21 tahun itu berjaya diberkas kira-kira jam 12.25 tengah malam di sebuah premis di Pandan Perdana dekat sini.

"Turut dirampas sekeping kad ATM milik mangsa dan sebuah telefon bimbit berjenama yang dipercayai dibeli menggunakan transaksi akaun bank mangsa," ujarnya.

Pada Khamis, tular di media sosial seorang gadis mendakwa menjadi mangsa rakannya sendiri setelah kad ATM miliknya dicuri selain wang miliknya turut digunakan untuk membeli telefon bimbit berjenama.