Gaduh di pasar, 11 lelaki termasuk remaja ditahan

17 Nov 2026 • 10:32 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Gaduh di pasar, 11 lelaki termasuk remaja ditahan
Tangkap layar video tular yang memaparkan pergaduhan melibatkan beberapa individu di kawasan pasar di Sandakan.

SANDAKAN - Seramai 11 lelaki termasuk remaja ditahan bagi membantu siasatan berhubung pergaduhan membabitkan dua kumpulan di kawasan Pasar Bandar Ramai-Ramai di sini, malam Isnin.

Kesemua individu yang ditahan berusia antara 15 hingga 46 tahun terdiri daripada lima warga tempatan dan enam warga Filipina.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, penahanan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan.

"Pihak polis menerima maklumat melalui talian kecemasan berhubung kejadian pergaduhan yang dipercayai membabitkan penggunaan senjata tajam di lokasi berkenaan.

"Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara dua kumpulan lelaki yang bermula kira-kira jam 12.30 tengah malam hari sama," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, perselisihan faham itu kemudian berlarutan sehingga berlaku satu lagi pergaduhan pada sebelah malam yang turut dirakam dan videonya tular di media sosial.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata. 

"Polis juga sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian," katanya.

George dalam pada itu turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri dalam menyelesaikan sebarang perselisihan faham, sebaliknya menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa.

"Orang ramai juga diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung video kejadian yang tular di media sosial kerana dikhuatiri boleh menimbulkan salah faham serta mengganggu siasatan polis," katanya.

Sebelum ini, satu video berdurasi 45 saat tular di media sosial yang memaparkan kejadian pergaduhan melibatkan beberapa individu di kawasan pasar dipercayai di Sandakan.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved