
KUALA LUMPUR: Dua persoalan undang-undang yang dibangkitkan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid berhubung pertuduhan gagal mengisytiharkan harta didengar di Mahkamah Persekutuan pada 8 Oktober ini.
Peguam Izyan Azimi yang mewakili balu bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, memaklumkan perkara itu ketika sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azrul Darus.
“Pihak kami mohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan seterusnya bagi pihak-pihak memaklumkan status persoalan undang-undang tersebut dan kami mohon pengecualian kehadiran tertuduh pada prosiding itu,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), P. Rubini mengesahkan perkara itu.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula bagi kedua-dua pihak memaklumkan status persoalan undang-undang terbabit pada 15 Oktober ini.
Pada 4 Mac lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Arief Emran Arifin membenarkan dua persoalan undang-undang yang dibangkitkan Na’imah dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.
Dua persoalan itu ialah sama ada Seksyen 30(5) dan Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 melanggar hak perlindungan daripada menyalahkan diri sendiri (self-incrimination), hak untuk tidak dipaksa mengemukakan keterangan bukti, hak untuk berdiam diri serta bertentangan dengan Perkara 5 dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
Persoalan kedua pula adalah sama ada Seksyen 30(5) dan Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 memenuhi ujian kekadaran tiga peringkat (three-fold test of proportionality) seperti termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
Sebelum itu, pada 18 Februari 2025, Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi menolak permohonan Na’imah untuk merujuk persoalan undang-undang berkenaan atas alasan ia tidak mempunyai merit kerana tiada isu perlembagaan yang berbangkit dalam kes terbabit.
Pada 29 Februari 2024, Na’imah memfailkan permohonan untuk merujuk persoalan undang-undang membabitkan Seksyen 30(5), Seksyen 36(2) dan Seksyen 62 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 32(3)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) ke Mahkamah Tinggi.
Na’imah didakwa pada 23 Januari 2024 di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan gagal mematuhi notis di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 berhubung pengisytiharan aset termasuk kepentingan dalam Ilham Tower Sdn. Bhd. dan Ilham Baru Sdn. Bhd., dua kenderaan Mercedes-Benz serta beberapa hartanah di Bukit Tunku, Taman Tunku, Jalan Cantonment Road, Pulau Pinang dan Jalan Athinahapan, Taman Tun Dr Ismail.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM100,000 jika sabit kesalahan. – UTUSAN
The post Gagal isytihar harta: Persoalan undang-undang Na’imah didengar 8 Oktober appeared first on Utusan Malaysia.
