
Gagal Penuhi Standard Piawaian FIFA, Stadium Kanjuruhan Bakal Dirobohkan
Stadium Kanjuruhan yang merupakan stadium utama bagi kelab bola sepak Arema FC dilaporkan akan dirobohkan kerana tidak memenuhi piawaian standard FIFA susulan dinilai usai tragedi yang mengorbankan 133 nyawa dan mencederakan ratusan penonton, lapor Detikcom.
Sehubungan itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo menyatakan bahawa kerajaan menggantikannya dengan stadium yang baharu.
Kenyataan tersebut dibuat selepas Jokowi bertemu dengan Presiden FIFA, Gianni Infantino di Istana Merdeka, Jakarta. Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Menteri BUMN Erick Thohir dan MENPORA Zainudin Amali.
“Sebentar tadi saya dan FIFA berbincang mengenai Stadium Kanjuruhan di Malang, kita akan merobohkan dan membinanya semula berdasarkan standard FIFA supaya dapat menambah baik kemudahan fasiliti dan menjamin keselamatan pemain dan penonton,” kata Jokowi.

Memetik laporan Detikcom, selain penambahbaikan infrastruktur, Jokowi turut menegaskan bahawa kerajaan dan FIFA mahu menambah baik sistem keselamatan di stadium.
Selain itu juga, masa perlawanan juga akan diatur supaya dapat mengurangkan risiko keselamatan.
“Kami membincangkan secara terperinci mengenai bagaimana hala tuju bola sepak Indonesia pada masa hadapan. Kedua, berkaitan dengan pengurusan keselamatan dan pengurusan keamanan, kami juga akan membincangkan secara terperinci.”
“Akhir sekali, berkaitan pengurusan perlawanan iaitu masa. Kami telah bersetuju bahawa transformasi bola sepak Indonesia bekerjasama bersama FIFA.
“FIFA akan membantu dalam perubahan transformasi bola sepak Indonesia dan berada di Indonesia sehingga semuanya berjalan dengan lancar,” jelas Jokowi.
Sumber: Detikcom
The post Gagal Penuhi Standard Piawaian FIFA, Stadium Kanjuruhan Bakal Dirobohkan appeared first on Siakap Keli.


