
KUALA LUMPUR - Malaysia berdepan kritikan kerana gagal membawa delegasi lengkap bagi menghadiri Persidangan Buruh Antarabangsa ke-113 (ILC), yang berlangsung di Geneva dari 2 hingga 13 Jun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Bersama Khas Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J Solomon berkata, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) gagal menyerahkan nama semua wakil kepada ILC walaupun telah diingatkan beberapa kali.
Menurut beliau, KESUMA bertindak mengecualikan kehadiran wakil MTUC tanpa alasan yang kukuh.
“Kongres Kesatuan Sekerja Antarabangsa (ITUC) telah memaklumkan kepada MTUC bahawa kegagalan penyertaan MTUC dalam ILC ke-113 akan menyebabkan perbicaraan kes Konvensyen 98 ditangguhkan sehingga 2028.
“Sebelum itu, JBK yang dipertanggungjawabkan oleh mahkamah untuk membuat persediaan bagi Persidangan Perwakilan Khas (SDC) MTUC dan mentadbir MTUC dalam tempoh interim, telah mendapatkan nama-nama daripada kesatuan gabungan yang ingin menghadiri ILC dan menghantar senarai wakil pekerja kepada KESUMA,” katanya.
Jelas Solomon, tindakan KESUMA menyebabkan Malaysia telah disenarai pendek untuk didengar oleh Jawatankuasa Penguatkuasaan Standard (CAS) berkenaan pelanggaran terhadap Konvensyen ILO No. 98.
“ILO mempunyai sistem penyeliaan dan semua negara yang telah meratifikasikan Konvensyen akan dipilih secara berkala, untuk memastikan bahawa undang-undang dan amalan negara tersebut adalah selaras dengan Konvensyen berkenaan,” katanya.
Solomon memberitahu, ILC ialah platform untuk kerajaan, majikan dan pekerja berbincang mengenai perlanggaran Konvensyen serta meminta kerajaan mengambil langkah pemulihan.
“Di ILO, terdapat satu Jawatankuasa Pakar merangkumi barisan hakim yang telah bersara bagi meneliti undang-undang dan amalan negara.
“Selain itu ia juga bagi membincangkan setiap laporan yang diterima mengenai sebarang pelanggaran Konvensyen dan kelompangan dalam implementasinya,” katanya.
Beliau menarik perhatian, kegagalan KESUMA bagaimanapun tidak menghalang 14 perwakilan kesatuan-kesatuan gabungan MTUC yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Khas Bersama MTUC untuk menghadiri ILC, dengan sokongan daripada ITUC.
"Kehadiran MTUC telah memberi impak yang ketara kerana suara dan perjuangan pekerja-pekerja Malaysia telah didengar dengan kuat dan ketara di ILO.
“Pada ketika perbincangan CAS, 12 daripada 21 penceramah global - termasuk pemimpin tertinggi ITUC dan Persekutuan Kesatuan Sekerja Sedunia (WFTU) turut menyuarakan sokongan yang padu untuk MTUC,” katanya. - Getaran, 5 Julai 2025
