
KUALA TERENGGANU – Satu rakaman memaparkan dua ekor gajah denak membantu memujuk seekor gajah liar keluar dari kawasan berisiko tular di media sosial, sekali gus mencuri perhatian ramai.
Menerusi perkongsian pengguna TikTok @fareezfernandez91, dua gajah terlatih itu dilihat ‘memimpin’ gajah liar secara perlahan ke kawasan lebih selamat sebelum proses pemindahan dijalankan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
“2 ekor gajah denak berjaya pujuk keluar gajah liar ke kawasan yang lebih sesuai. Terima kasih team PERHILITAN,” tulisnya.
Rakaman sama turut memperlihatkan kerjasama rapat antara mahut dan gajah denak, yang digunakan bagi menenangkan haiwan liar agar tidak panik sepanjang operasi.
Gelagat ‘Abot’ Cuit Hati Netizen
Gelagat salah seekor gajah denak dikenali sebagai “Abot” bagaimanapun mencuri perhatian netizen apabila dilihat cukup ‘aktif’ membantu dari bahagian belakang lori. Ada yang berseloroh pernah melihat Abot ‘kena marah’ kerana membuka pintu lori, manakala sebahagian lain ketawa melihat aksinya seakan-akan mengundur kenderaan.
Pemilik video menjelaskan secara santai bahawa gajah merupakan haiwan ber-IQ tinggi dan mampu mengingati arahan dalam tempoh lama, sebab itu pergerakannya kelihatan teratur dan ‘taktikal’. Malah, ruangan komen turut dipenuhi pujian terhadap kemahiran mahut serta kebijaksanaan gajah denak mengawal situasi dengan tenang.
Difahamkan, operasi pemindahan seperti ini lazim dijalankan di sekitar Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah serta kawasan hutan berhampiran Tasik Kenyir sebagai usaha melindungi spesies berkenaan daripada ancaman konflik manusia.
Pendekatan menggunakan gajah denak bukan sahaja lebih selamat, malah membantu memastikan proses berjalan tenang dan terkawal. Gajah denak ialah gajah yang telah dijinakkan dan dilatih khas oleh mahut untuk membantu kerja konservasi seperti menjejak, menenangkan serta memandu gajah liar keluar dari kawasan berbahaya, menjadikannya antara aset penting dalam operasi pengurusan hidupan liar di negara ini. – The Malaysian Update
The post Gajah Denak ‘Pujuk’ Gajah Liar, Operasi PERHILITAN Raih Perhatian Netizen appeared first on The Malaysian Update.

