KOTA KINABALU - Seekor gajah Pygmy Borneo ditemukan mati dalam keadaan kejam apabila kepalanya dipenggal dan bangkainya ditinggalkan di kawasan Hutan Simpan Pinangah, Tongod pada Ahad lalu.
Perkara itu disahkan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), Datuk Jafry Ariffin yang memandang serius berhubung penemuan bangkai gajah tersebut, yang dipercayai mempunyai unsur jenayah hidupan liar.
"Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah telah menjalankan pemeriksaan awal di lokasi kejadian dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), renjer komuniti dan pihak ladang.
"Berdasarkan maklumat awal, kejadian dipercayai berlaku pada 17 Mei selepas saksi di kawasan ladang mendengar bunyi letupan kuat sebelum pemeriksaan lanjut tertangguh akibat keadaan cuaca.
"Pada keesokan harinya, pasukan ladang telah menemui bangkai seekor gajah jantan Borneo (Elephas maximus borneensis) dengan sebahagian kepala dan gading didapati hilang dan dipercayai telah dipotong," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Katanya lagi, laporan segera telah dibuat kepada pihak berkuasa dan pasukan JHL telah digerakkan ke lokasi bagi tindakan lanjut.
"Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat kecederaan pada bahagian kepala yang dipercayai akibat penggunaan alat tajam.
"Setakat ini, tiada kesan tembakan ditemui, manakala siasatan lanjut sedang diteruskan bagi mengenal pasti punca kejadian serta pihak yang terlibat.
"Beberapa barangan bukti turut ditemui di lokasi dan telah diserahkan untuk siasatan, termasuk kotak rokok dan botol air," katanya.
Tambah Jafry lagi, susulan kejadian itu juga, JHL telah melaksanakan tindakan segera termasuk operasi sekatan jalan raya (SJR) dengan kerjasama PDRM serta pengukuhan rondaan di kawasan terlibat.

