
LAHAD DATU: Seekor gajah betina liar ditemui mati selepas dipercayai terjatuh ke dalam lubang bawah tanah tangki kumbahan lama di kawasan Pusat Lapangan Lembah Danum (DVFC), di sini.
Menurut laporan polis, Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 31 Oktober.
Sebaik tiba di lokasi, pasukan JHL mendapati gajah berkenaan masih hidup dan melancarkan operasi untuk menyelamatkannya.
Bagaimanapun, operasi tersebut terpaksa ditangguhkan kerana terdapat kumpulan gajah liar lain berhampiran kawasan itu.
Pemeriksaan semula pada jam 1 tengah hari, 1 November mendapati gajah tersebut telah mati.
Pihak JHL mengesahkan tiada unsur jenayah atau kesan kecederaan pada bangkai haiwan berkenaan.
Gajah itu kemudiannya ditanam pada jam 5.15 petang di kawasan DVFC mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Jabatan Hidupan Liar.
Siasatan awal mendapati gajah berkenaan terjatuh ke dalam lubang yang tidak ditutup sepenuhnya.
Kes tersebut diklasifikasikan sebagai Rujuk Kepada Agensi Lain (ROA) dan diserahkan kepada JHL untuk tindakan lanjut.
