Gajah Liar Mengamuk Ragut Nyawa 17 Orang

LocalEnvironment
10 Jan 2026 • 1:21 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Gajah Liar Mengamuk Ragut Nyawa 17 Orang

Angka korban akibat serangan gajah liar di daerah West Singhbhum meningkat kepada 17 orang selepas seorang wanita yang cedera parah disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sadar West Singhbhum, lewat malam Rabu.

Pihak berkuasa hutan memaklumkan bahawa walaupun gajah berkenaan boleh dibius dan dipindahkan, usaha menjejakinya masih belum berjaya setakat ini.

Menurut Jabatan Perhutanan, tiada serangan baharu dilaporkan pada Khamis membabitkan gajah jantan muda yang agresif itu, yang kini berada dalam keadaan “musth”.

Namun begitu, beberapa pasukan khas telah digerakkan ke seluruh wilayah Kolhan bagi menjejaki pergerakan haiwan berkenaan, namun ia gagal dikesan sejak pagi.

Pegawai Perhutanan Bahagian Chaibasa, Aditya Narayan, berkata seorang penjejak profesional dari organisasi Vantara di Gujarat telah tiba di West Singhbhum. Manakala, pasukan sokongan lain dari ‘WildlifeSOS’ dijangka menyertai operasi pada pagi Jumaat.

Selain itu, pasukan tindak balas pantas (QRT) dari Bengal dan Odisha telah berada di lokasi sejak dua hari lalu.

“Kami masih berkhemah di kawasan ladang sambil menggerakkan pelbagai pasukan untuk menjejaki gajah tersebut, namun ia tidak kelihatan hari ini,” katanya.

Tambah beliau, pengumuman awam turut dibuat bagi memberi peringatan kepada penduduk tentang langkah keselamatan yang perlu dipatuhi.

Seorang pegawai Jabatan Perhutanan memaklumkan bahawa corak pergerakan gajah itu didapati tidak menentu, merangkumi kawasan seluas kira-kira 100 kilometer merentasi tiga bahagian hutan. Justeru, pasukan pengesan ditempatkan di beberapa lokasi strategik berdasarkan laluan yang dikenal pasti.

Sementara itu, Pegawai Daerah West Singhbhum, Chandan Kumar, berkata kerja-kerja pemetaan kampung berisiko sedang dijalankan bagi membolehkan penduduk dipindahkan sementara ke kawasan lebih selamat.

“Kami merancang untuk memindahkan penduduk dari kawasan kritikal ke lokasi yang lebih selamat berhampiran,” katanya.

Ketua Konservator Hutan Wilayah Kolhan, Smita Pankaj, menegaskan bahawa keutamaan utama ketika ini adalah memastikan tiada lagi korban jiwa.

Gajah berkenaan kali terakhir dilihat di Hutan Sialjod, Blok Hatgamharia, di bawah pentadbiran Bahagian Hutan Chaibasa pada Rabu.

Sejak 1 Januari lalu, gajah liar itu dilaporkan telah membunuh 17 orang dan mencederakan lebih enam penduduk kampung dalam kira-kira 12 serangan berasingan di kawasan hutan Chaibasa, Kolhan dan Saranda.

Blok Noamundi, Tonto dan Goilkera dikenal pasti sebagai kawasan paling teruk terjejas dengan jumlah korban yang tinggi.

BACA: Langit Biru Bertukar Merah Jambu Di Birmingham

Sumber: TOI

The post Gajah Liar Mengamuk Ragut Nyawa 17 Orang appeared first on Siakap Keli.