
Gajah Liar Sama Bunuh Empat Ahli Keluarga Dalam Tempoh 14 Tahun
Tragedi menyayat hati menimpa sebuah keluarga di Nepal apabila seekor gajah liar yang sama kembali menyerang dan membunuh dua lagi ahli keluarga mereka, menjadikan jumlah korban daripada keluarga itu kepada empat orang dalam tempoh 14 tahun.
Gajah liar jantan yang dikenali sebagai Dhurbe dilaporkan membunuh ibu bapa Shanichara Bote berhampiran Taman Negara Chitwan pada 2012.
Bimbang tragedi berulang, Bote kemudian berpindah bersama keluarganya ke kawasan Jagatpur dengan menyeberangi Sungai Rapti dan menetap beberapa kilometer dari lokasi asal.
Namun, awal bulan ini, Dhurbe sekali lagi muncul di penempatan baharu keluarga itu sebelum membunuh menantu Bote, Ashika Bote, 25, serta cucunya, Bharat Bote yang berusia empat tahun.
"Kami percaya dengan berpindah ke seberang sungai besar, kami akan selamat. Namun selepas bertahun-tahun, gajah yang sama menemui kami semula, menyerang rumah kami dan meragut nyawa menantu serta cucu saya.
"Kini tiada lagi tempat untuk kami melarikan diri," katanya kepada Kathmandu Post.
Rumah musnah demi selamatkan ahli keluarga
Dalam kejadian tersebut, isteri Bote dilaporkan berjaya menyelamatkan beberapa ahli keluarga lain dengan membakar timbunan jerami kering berhampiran rumah bagi menghalau gajah itu.
Bagaimanapun, tindakan tersebut menyebabkan rumah mereka musnah dalam kebakaran.
Kini, keluarga Bote yang masih mempunyai sembilan anggota berkata mereka tidak lagi mempunyai tempat lain untuk berpindah, selain terus hidup dalam kebimbangan sekiranya Dhurbe kembali menyerang.
Pernah diburu, tapi gagal ditangkap
Selepas Dhurbe membunuh ibu bapa Bote pada 2012, pihak berkuasa melancarkan operasi besar-besaran untuk menangkap atau menembak mati gajah berkenaan.
Seramai 93 anggota tentera dikerahkan dan Dhurbe dilaporkan terkena dua das tembakan sehingga cedera, namun haiwan itu berjaya melarikan diri dan gagal dikesan.
Dhurbe muncul semula pada 2016 sebelum dipasang kolar penjejak satelit. Peranti itu bagaimanapun rosak, menyebabkan pihak berkuasa memasang kolar baharu pada 2020 dan sekali lagi pada 2023. Sistem tersebut menghantar maklumat lokasi gajah itu setiap sejam.
Baca juga:Penduduk kampung mendakwa Dhurbe sudah berkeliaran di sekitar penempatan mereka selama beberapa hari sebelum serangan terbaru berlaku.
Ketua Jawatankuasa Pengguna Zon Penampan Ghailaghari, Lal Bahadur Dawadi berkata, corak pergerakan gajah itu sebenarnya boleh dijangka kerana ia kembali ke kampung setiap tahun.
Gajah agresif telah bunuh sekurang-kurangnya 25 orang
Pegawai Penerangan Taman Negara Chitwan, Abinash Thapa Magar berkata, Dhurbe telah membunuh sekurang-kurangnya 25 orang sejak 2010.
Ia sekali gus menjadikannya antara gajah liar paling berbahaya dan dipantau rapi di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, antara mangsa yang pernah dibunuh ialah dua anggota tentera yang menjalankan operasi membanteras pemburuan haram di dalam taman negara itu.
"Kami menggunakan kolar penjejak satelit untuk memantau pergerakan gajah jantan yang sangat agresif ini.
"Data menunjukkan kedudukan Dhurbe berada berhampiran lokasi kejadian pada 4 Julai lalu," katanya.
Konflik antara manusia & hidupan liar
Pakar hidupan liar menjelaskan tingkah laku Dhurbe mencerminkan 'konflik' yang semakin meningkat antara manusia dan hidupan liar apabila penempatan penduduk semakin meluas ke kawasan habitat semula jadi gajah.
Gajah jantan lazimnya meninggalkan kumpulan apabila mencapai usia matang. Ada yang dihalau oleh gajah jantan dominan sebelum hidup bersendirian di pinggir hutan dan kawasan perkampungan, sekali gus meningkatkan risiko pertembungan dengan manusia.
Menurut Pelan Tindakan Pemuliharaan Gajah Nepal 2025-2035, lebih separuh daripada habitat berpotensi bagi gajah di wilayah Chure-Tarai berada di luar kawasan perlindungan.
Di kawasan Chitwan sahaja, seramai 127 orang dilaporkan maut akibat serangan hidupan liar sepanjang kira-kira 11 tahun setengah yang lalu.





