
KUANTAN: Gajah yang menyebabkan kematian seorang remaja Orang Asli di Pos Sinderut, Lipis minggu lepas dipercayai telah kembali ke habitatnya di Hutan Simpan Ulu Jelai juga dalam daerah Lipis.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang menerusi kenyataan di sini hari ini, memaklumkan dapatan itu berdasarkan hasil cerapan yang dilakukan pasukan operasi tangkapan gajah tersebut.
Operasi bermula pada 10 Jan lepas, iaitu sehari selepas serangan gajah itu dilaporkan, dengan penglibatan 16 kakitangan Perhilitan Pahang dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Temerloh.
“Pemantauan pergerakan gajah dilakukan pada waktu malam dan awal pagi. Sementara penjejakan gajah dijalankan oleh kumpulan tangkapan pada waktu siang berdasarkan kesan baharu yang dicerap oleh kumpulan pemantau.
“Hasil cerapan pada 12 Jan lepas mendapati gajah tersebut telah bergerak merentasi Jalan Sungai Koyan–Cameron Highlands dan kembali ke kompleks hutan utama Hutan Simpan Ulu Jelai,“ menurut kenyataan itu.
Perhilitan, bagaimanapun akan meneruskan operasi tangkapan sehingga 19 Jan ini, sebelum ditamatkan jika tiada kesan atau aduan baru kehadiran gajah.
Pemantauan pula masih dilakukan di Pos Sinderut, Pos Lenjang, Pos Betau, Pos Pantos dan Kampung Keledek, semuanya di Lipis.
Pada 9 Jan lepas, polis mengesahkan kematian Andy Yok Manin, 15, dari Kampung Tual, Pos Sinderut dipercayai akibat serangan seekor gajah semasa mangsa dan keluarganya berada di kebun durian.
Kenyataan itu juga menyatakan Perhilitan akan bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JAKOA) bagi meningkatkan kefahaman dan kesedaran berhubung langkah keselamatan dan usaha mitigasi yang sesuai dijalankan di kawasan penempatan masyarakat Orang Asli.
Aduan dan maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Pejabat PERHILITAN terdekat atau talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my. -Bernama

