Gajah sesat masuk Penjara Kluang

21 Dec 2022 • 9:57 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KLUANG: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Johor hari ini mengesahkan berlaku kejadian seekor gajah dipercayai tersesat dan memasuki kawasan Penjara Kluang, di sini, Isnin lepas.

Pengarahnya Aminuddin Jamin berkata pihaknya menerima laporan kejadian daripada pihak Penjara Kluang pada 10 malam dan menggegaskan tiga petugas jabatan itu ke lokasi.

Beliau berkata gajah dewasa itu dipercayai tersesat daripada kumpulannya yang dikenali sebagai ‘Grup Tenang’, yang difahamkan kira-kira 15 ekor.

Menurut Aminuddin, susulan itu, pihaknya menghalau gajah tersebut dengan menggunakan kaedah ‘tembak dan halau’ serta mengiringinya hingga ke kawasan selamat.

“Kita ambil tindakan dengan menembak ke udara beberapa kali menuju hutan berhampiran iaitu Hutan Gunung Lambak.

“Seterusnya, pihak Perhilitan akan melakukan pemantauan berterusan dan kawalan di lokasi sehingga keadaan benar-benar selamat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata kejadian gajah memasuki kawasan penjara di negeri ini adalah kali pertama berlaku.

Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk tidak melakukan provokasi terhadap gajah sekiranya bertembung dan berhubung dengan Perhilitan untuk tindakan selanjutnya. - Bernama