Gajet Jejas Mata Anak, Pakar Saran Kawal Skrin & Jaga Pemakanan

LocalHealth & Fitness
21 Sep 2025 • 2:05 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

Gaya hidup digital kini memberi kesan besar kepada penglihatan kanak-kanak Malaysia. Kajian terkini mendedahkan 22.3 peratus kanak-kanak mengalami gangguan penglihatan, dengan lebih separuh berpunca daripada masalah yang boleh dirawat.

Menurut Pakar Mata Kanak-kanak di Sunway Medical Centre Velocity (SMCV), Dr Fiona Chew Lee Min, hampir satu daripada dua kanak-kanak di Malaysia terjejas dengan kesalahan refraktif, iaitu keadaan di mana cahaya tidak tertumpu dengan betul pada mata disebabkan oleh bentuk bebola mata, mengakibatkan penglihatan menjadi kabur.

“Miopia menjejaskan 30.2 peratus kanak-kanak, manakala astigmatisme 16.3 peratus. Walaupun hiperopia (rabun dekat) lebih jarang berlaku, kesemuanya boleh menjejaskan pembelajaran dan perkembangan jika tidak dirawat,” jelasnya.

image is not available
Dr Fiona Chew Lee Min

Katanya, simptom tersebut sering diabaikan kerana kanak-kanak jarang mengadu mengenai masalah penglihatan mereka. 

“Menonton TV terlalu dekat, mengecilkan mata atau kerap menggosok mata bukan sekadar tabiat, ia mungkin tanda rabun,” ujarnya. 

Jika tidak dirawat, kesalahan refraktif boleh membawa kepada masalah penglihatan yang lebih serius, termasuk mata malas (lazy eye) yang menyebabkan penglihatan menjadi lemah, masalah penjajaran mata, sakit kepala akibat ketegangan mata, masalah dengan persepsi kedalaman (ketidakupayaan untuk menilai jarak atau melihat kedalaman dengan betul) dan juga kesukaran untuk menumpukan perhatian. 

image is not available

Faktor utama ialah masa skrin berlebihan yang meningkat semasa pandemik. Lebih separuh pelajar kini mengalami sakit kepala akibat terlalu lama menatap skrin. 

Dr Fiona menegaskan kanak-kanak bawah tiga tahun wajar mengelakkan skrin sepenuhnya, manakala yang lebih besar dihadkan kepada satu jam sehari. Beliau turut mengesyorkan peraturan 20-20-20 – rehat 20 saat setiap 20 minit dengan melihat objek sejauh 20 kaki.

Rawatan asas adalah cermin mata preskripsi, yang membantu menstabilkan penglihatan dan bukannya melemahkan mata. 

“Kanak-kanak harus memakainya secara konsisten,” katanya. 

Kanta lekap boleh dipertimbangkan untuk usia 10–12 tahun dengan syarat kebersihan dijaga. Beliau juga menekankan kepentingan pemeriksaan awal sejak lahir dan pada usia tiga tahun.

image is not available
Chow Yu Fei

Dari sudut pemakanan, Pakar Diet SMCV, Chow Yu Fei mengingatkan bahawa nutrien tertentu penting untuk kesihatan mata. 

“Vitamin A, lutein, zeaxanthin dan omega-3 menyokong retina dan perkembangan visual. Ia boleh diperoleh daripada lobak merah, bayam, brokoli, ikan tenggiri, salmon, walnut dan biji chia,” jelasnya. 

Kekurangan nutrien ini boleh meningkatkan risiko rabun serta kerosakan retina akibat cahaya biru.

Kekurangan vitamin A boleh menjejaskan keupayaan kanak-kanak untuk melihat dengan jelas dalam keadaan cahaya malap dan, dalam kes yang teruk, boleh menyebabkan kerosakan kekal pada kornea. 

Pengambilan lutein dan zeaxanthin yang tidak mencukupi pula boleh mengurangkan pertahanan semula jadi retina terhadap cahaya biru (blue light) yang berbahaya, meningkatkan risiko kepada kerosakan jangka panjang.

image is not available

Kekurangan asid lemak omega-3 juga boleh menghalang perkembangan dan fungsi retina, serta menjejaskan kejelasan dan kecekapan pemprosesan visual. 

Dengan menambah makanan yang kaya dengan nutrien ini ke dalam makanan harian, ibu bapa boleh memberi anak-anak mereka peluang terbaik untuk mendapatkan penglihatan yang kuat dan sihat yang dapat menyokong mereka.

Kedua-dua pakar sepakat bahawa pengesanan awal, tabiat gaya hidup sihat, pemakanan seimbang dan rawatan tepat mampu memastikan anak-anak membesar dengan penglihatan yang sihat di era digital. - Getaran, 21 September 2025

Foto : Sunway Medical Centre Velocity

View Original Article