Gaji Hakim Indonesia Kini Didakwa Atasi Malaysia, Singapura — Prabowo

LocalPolitics
14 May 2026 • 12:54 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Gaji Hakim Indonesia Kini Didakwa Atasi Malaysia, Singapura — Prabowo

JAKARTA – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mendakwa gaji hakim di republik itu kini mengatasi beberapa negara jiran termasuk Malaysia dan Singapura selepas kerajaan pimpinannya melaksanakan kenaikan sehingga 280 peratus.

Menurut beliau, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Ketua Mahkamah Agung Indonesia, Sunarto selepas menghadiri pertemuan bersama Ketua-Ketua Mahkamah Agung ASEAN baru-baru ini.

Prabowo berkata, Ketua Hakim Malaysia dilaporkan melahirkan rasa kagum apabila buat pertama kali gaji hakim Indonesia berjaya melepasi kadar diterima hakim di Malaysia.

“Ketua Mahkamah Agung Malaysia menyampaikan kepada Ketua Mahkamah Agung Indonesia bahawa beliau kagum dengan Indonesia.

“Katanya, buat pertama kali gaji hakim Indonesia lebih tinggi daripada gaji hakim Malaysia,” katanya ketika menghadiri majlis penyerahan wang rampasan hasil operasi Pasukan Petugas Penertiban Kawasan Hutan (Satgas PKH) di Jakarta, Rabu.

Hakim junior Indonesia didakwa hampir dua kali ganda lebih tinggi

Menurut Prabowo, gaji hakim paling junior di Indonesia kini didakwa hampir dua kali ganda lebih tinggi berbanding hakim junior di Malaysia.

Beliau berkata, langkah menaikkan gaji itu dibuat bagi memastikan institusi kehakiman negara berkenaan bebas daripada pengaruh rasuah serta sogokan.

“Kami memilih mereka dengan baik dan mereka perlu diberikan pendapatan mencukupi supaya hakim-hakim kita tidak boleh disogok,” katanya.

Dalam perkembangan sama, kerajaan Indonesia turut berjanji menyediakan rumah rasmi yang lebih selesa kepada kira-kira 8,900 hakim di seluruh negara.

Prabowo berkata, kemudahan itu penting memandangkan ramai hakim perlu berpindah mengikut lokasi penugasan di pelbagai daerah dan wilayah.

“Saya juga sudah mengarahkan Menteri Perumahan Rakyat menyediakan rumah untuk semua hakim kerana elaun perumahan mereka ketika ini masih rendah,” ujarnya.

Prabowo beri amaran keras kepada hakim

Pada masa sama, beliau turut memberi amaran keras kepada hakim dan petugas mahkamah supaya tidak cuai dalam menjalankan amanah kerana rakyat kini semakin peka dan sentiasa memantau setiap keputusan mahkamah.

Menurutnya, keadilan tidak boleh sekadar menjadi slogan semata-mata, sebaliknya setiap keputusan mahkamah perlu benar-benar memberi rasa aman dan keyakinan kepada masyarakat. – The Malaysian Update

The post Gaji Hakim Indonesia Kini Didakwa Atasi Malaysia, Singapura — Prabowo appeared first on The Malaysian Update.