Galeri Peranakan Cina Kelantan dicadang masuk kalendar pelancongan negeri

11 Sep 2026 • 4:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Galeri Peranakan Cina Kelantan dicadang masuk kalendar pelancongan negeri
Bilik pengantin peranakan Cina Kelantan yang dipamerkan di galeri. 
Image from: Galeri Peranakan Cina Kelantan dicadang masuk kalendar pelancongan negeri
Dr Hafidzah (dua dari kanan) melawat ke dalam galeri selepas selesai merasmikan karnival pada Jumaat.  
Image from: Galeri Peranakan Cina Kelantan dicadang masuk kalendar pelancongan negeri
Dr Hafidzah (tiga dari kanan) mencuba seni kaligrafi Cina sambil diiringi Kham Hong (dua dari kanan).

TANAH MERAH – Galeri Peranakan Cina Kelantan di Jalan Wan Ahmad di sini dicadang dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri bagi memperkenalkan warisan unik masyarakat itu kepada pelancong tempatan dan luar negara.

Cadangan itu disuarakan Ahli Dewan Undangan Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim ketika merasmikan Mini Karnival Peranakan Cina Kelantan 2026 di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, galeri berkenaan mempunyai nilai sejarah dan warisan yang wajar diketengahkan terutama dalam usaha memperkenalkan keunikan Peranakan Cina Kelantan kepada masyarakat lebih luas.

“Usaha seperti ini dapat membantu memartabatkan dan mempertahankan warisan Peranakan Cina Kelantan.

“Saya menyeru pihak pelancongan Kelantan supaya dapat membantu agar warisan sebegini dimasukkan dalam kalendar pelancongan Kelantan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 supaya dapat dipertontonkan oleh pelancong sama ada dalam Malaysia mahupun dari luar negara,” katanya kepada pemberita.

**media[3644118]**

Menurutnya, keunikan Peranakan Cina Kelantan terletak pada gabungan budaya masyarakat Cina dengan pengaruh masyarakat tempatan di Kelantan yang membentuk identiti tersendiri.

Katanya, antara unsur yang menarik ialah penggunaan dialek Melayu Kelantan yang begitu asli selain pakaian, makanan dan adat yang memperlihatkan proses asimilasi dengan budaya setempat.

“Uniknya masyarakat Peranakan Cina Kelantan ini sebenarnya adalah gabungan budaya daripada kaum Cina dan Siam yang berada di Kelantan.

“Mereka fasih bercakap dialek Kelantan dan memakai kebaya bersulam serta berkain batik dari budaya Melayu bahkan mereka juga gemar makan budu,” katanya.

**media[3644115]**

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Peranakan Cina Kelantan (PPCK), Lim Kham Hong berkata, galeri diwujudkan pada 2017 itu sebagai usaha memperkenalkan sejarah dan warisan masyarakat Peranakan Cina Kelantan kepada generasi akan datang.

Beliau berkata, galeri tersebut menghimpunkan pelbagai elemen termasuk sejarah dan asal-usul, geografi, bahasa, resam serta makanan masyarakat berkenaan.

“Kalau sesiapa yang di luar sana nak tahu mengenai Peranakan Cina di Kelantan secara terperinci, boleh datang ke galeri,” katanya.

Katanya, PPCK akan terus mengadakan program berkaitan warisan tersebut supaya tradisi yang diwarisi daripada generasi terdahulu tidak dilupakan.

“Perjuangan kami supaya tidak ketinggalan zaman dan tidak terhenti begitu sahaja kerana tradisi ini semakin dilupai.

“Mungkin juga akan terhenti sekiranya kami semua tidak mengambil tempat untuk mempromosi dan mengetengahkan serta mengekalkan adat-adat kami kepada generasi seterusnya,” katanya.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved