Gambar Hadi Dalam Slaid, JAIM Tarik Semula Infografik Khutbah Jumaat

LocalPolitics
23 Sep 2024 • 12:59 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Khutbah Jumaat di semua surau dan masjid di Melaka mencetuskan konflik apabila slaid yang dikendalikan oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menampilkan gambar ahli politik pembangkang.

image is not available

Foto: malaysiakini

Menurut Pengarah JAIM, Datuk Badaruddin Mohd Kassim, infografik yang disediakan oleh Bahagian Pengurusan Masjid untuk kegunaan masjid dan surau Jumaat di Melaka pada 20 September lalu mempunyai sedikit ralat.

“Adalah dimaklumkan bahawa berlaku ralat kepada infografik yang disediakan oleh Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) untuk edaran kepada masjid dan surau Jumaat di Negeri Melaka pada 20 September 2024,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu lalu.

Oleh itu, pihak mereka menarik semula infografik yang telah diedarkan secara serta merta.

Pihak JAIM turut meminta semua Pengerusi Jawatankuasa Masjid dan Surau Jumaat untuk tidak menyebarkan seterusnya melupuskan infografik tersebut dan menyerahkan kepada jabatan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Sehubungan itu, JAIM menarik balik infografik tersebut dengan serta merta dan memohon jasa baik semua pengerusi masjid dan surau Jumaat untuk menurunkan, memadam, dan tidak menyebarkan infografik tersebut atau sebarang dokumen berkaitannya untuk apa-apa tujuan,” ujarnya.

JAIM turut menyatakan rasa kesal terhadap isu yang berlaku dan membuat permohonan maaf melalui kenyataan tersebut serta akan memastikan tiada perkara sedemikian tidak akan berulang pada masa akan datang.

“JAIM berasa kesal atas kejadian yang berlaku dan memohon maaf di atas kekhilafan tersebut serta akan memastikan perkara seumpama ini tidak berlaku lagi pada masa hadapan,” katanya.

Terdahulu, slaid bersempena sambutan Hari Malaysia tersebut memaparkan wajah Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

image is not available

Foto: malaysiakini

Slaid tersebut juga mengandungi wajah Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berbanding wajah Agong terkini, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sumber: Facebook Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM)