Gamuda diramal catat untung kurang RM30 juta jual tanah Springhill- HLIB

LocalBusiness & Finance
6 May 2025 • 3:53 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Gamuda diramal catat untung kurang RM30 juta jual tanah Springhill- HLIB

image is not available

06/05/2025 - 15:53

Gambar/Gamuda Bhd Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 6 Mei - Gamuda Bhd dijangka mencatat keuntungan kurang daripada RM30 juta hasil penjualan tanah bernilai RM455.2 juta di Taman Perindustrian Springhill, Negeri Sembilan.

Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) berkata, walaupun keuntungan itu kurang 3% daripada keuntungan bersih Gamuda sebanyak RM912 juta bagi tahun 2024, penjualan tanah tersebut masih berbaloi kerana harganya 7% lebih tinggi daripada harga belian pada Disember 2024.

Ini menjadikan pembelian berkenaan menarik bagi syarikat Pearl Computing, memandangkan harga semasa tanah pusat data yang kini mencecah antara RM75 hingga RM145 sekaki persegi.

Menurut HLIB, Gamuda mendapat manfaat tambahan daripada urus niaga itu kerana berjaya memperoleh kontrak kerja asas bernilai RM1 bilion sebagai sebahagian daripada perjanjian.

Ia turut meningkatkan nilai tempahan kerja yang belum dilaksanakan kepada RM37 bilion, naik 2.8%.

Kontrak tersebut dijangka memberi untung sebelum cukai sekitar 8% dan melibatkan beberapa kerja utama seperti kerja tanah (siap suku ketiga 2025), loji rawatan air (siap suku kedua 2027) dan sistem takungan air (siap suku keempat 2028).

Projek berkenaan juga merupakan sebahagian daripada pelan kerja Gamuda bernilai RM35 bilion yang dijangka dilaksanakan secara berperingkat antara Februari hingga Disember 2025.

HLIB melihat strategi Gamuda dalam sektor pusat data sebagai langkah yang berjaya kerana syarikat bukan saja menjadi kontraktor kerja asas, tapi juga membantu pembelian tanah untuk projek kampus pusat data berkapasiti satu gigawatt.

"Gamuda berada dalam kedudukan kukuh untuk menerajui lebih banyak projek pusat data, yang kami anggarkan bernilai antara RM14 bilion hingga RM20 bilion jika dibangunkan sepenuhnya," jelas HLIB dalam satu nota kajian.

Dengan kerja tanah dijangka siap dalam suku ketiga 2025, pelaksanaan projek pusat data dilihat berjalan mengikut jadual.

Sehubungan itu, HLIB mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham Gamuda dengan harga sasaran tidak berubah iaitu RM5.26 sesaham. - DagangNews.com

standard