Gamuda kukuhkan semula kehadiran dalam sektor air menerusi projek RM5 bilion di Perak, kata CIMB Securities

LocalBusiness & Finance
18 Jul 2025 • 12:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Gamuda kukuhkan semula kehadiran dalam sektor air menerusi projek RM5 bilion di Perak, kata CIMB Securities

image is not available

18/07/2025 - 12:20

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Julai - Gamuda Bhd kembali mengukuhkan kedudukannya dalam sektor air dengan memperoleh kontrak bernilai RM5 bilion bagi Skim Bekalan Air Negeri Perak Utara (NPWSS), yang akan bermula pada tahun 2026 dan berlangsung selama 40 tahun, menurut CIMB Securities.

Katanya, projek itu akan menambah RM4 bilion kepada buku tempahan kerja pembinaan Gamuda, iaitu kira-kira 20% daripada unjuran tahun kewangan 2026 syarikat dan membantu membina semula pendapatan yang stabil daripada perkhidmatan air.

Firma penyelidikan itu berkata, selepas menjual 40% pegangan dalam sebuah syarikat air pada tahun 2018 dan dengan konsesi air sedia ada yang bakal tamat pada 2027, projek di Perak itu menandakan kemunculan semula Gamuda dalam sektor air.

"Gamuda dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) telah menerima surat daripada kerajaan negeri Perak untuk membangunkan dan mengendalikan NPWSS melalui usaha sama (JV) 50:50.

"Projek bernilai RM5 bilion ini akan dijalankan sekurang-kurangnya selama 40 tahun di bawah model penswastaan," katanya dalam satu nota kajian.

CIMB Securities berkata, NPWSS merangkumi dua komponen utama — pembinaan dan pengurusan rawatan serta pengagihan air bagi daerah Kerian di Utara Perak, serta pembekalan air terawat ke Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian dan penjualan lebihan air kepada Pulau Pinang.

Katanya, skim itu akan memindahkan 1.5 juta liter sehari air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah dan daripada jumlah tersebut, 500 juta liter sehari akan digunakan untuk pengairan di Utara Perak manakala selebihnya akan digunakan untuk keperluan domestik dan industri di kawasan tersebut.

CIMB Securities menjangkakan kerja pembinaan NPWSS akan menjana margin sebelum cukai antara 10% hingga 12% bagi Gamuda.

"Namun, perjanjian penswastaan dengan PKNPk perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa dan dijangka dimuktamadkan dalam tempoh 90 hari selepas pelantikan syarikat usaha sama," katanya.

Firma penyelidikan itu tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatannya sementara menunggu pemuktamadan perjanjian penswastaan bagi NPWSS. Projek ini dijangka bermula pada 2026.

CIMB Securities mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM5.50 sesaham. - DagangNews.com

standard