
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Klang, Ganabatirau Veraman, telah memfailkan saman fitnah terhadap pendakwah Firdaus Wong Wai Hung berhubung hantaran di media sosial yang didakwa mempersoalkan kesetiaannya kepada Malaysia.
Ganabatirau selaku plaintif memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi, di sini melalui firma guaman Messrs SN Nair & Partners semalam dengan menamakan Firdaus Wong sebagai defendan.
Berdasarkan pernyataan tuntutannya, Ganabatirau mendakwa Firdaus Wong menyiarkan kenyataan berunsur fitnah pada 28 Julai menerusi akaun media sosialnya.
Dakwa plaintif hantaran tersebut menggambarkan beliau secara palsu sebagai individu yang mempunyai kesetiaan berbelah bahagi antara Malaysia dan India susulan tindakannya menyuarakan kebimbangan mengenai program ‘Overseas Citizen of India’ (OCI) kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi.
Ganabatirau menyatakan beliau bertemu Modi semasa lawatan pemimpin India itu ke Malaysia pada 8 Februari dan menyampaikan kebimbangan rakyat Malaysia keturunan India mengenai kesulitan prosedur dalam permohonan status OCI.
Sementara itu menerusi dokumen mahkamah, hantaran di Facebook itu.kemudian menerima kira-kira 963 reaksi, 207 komen dan 139 perkongsian, manakala hantaran di Instagram memperoleh kira-kira 1,525 tanda suka dan 163 komen.
Justeru Ganabatirau menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan, selain injunksi kekal bagi menghalang Firdaus Wong daripada menerbitkan semula kenyataan yang didakwa berunsur fitnah itu atau membuat tuduhan serupa terhadapnya menerusi Facebook, Instagram atau mana-mana platform lain. – KOSMO! ONLINE
The post Ganabatirau fail saman fitnah terhadap Firdaus Wong appeared first on Kosmo Online.






