KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan telah mengarahkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk membuka siasatan terhadap Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), susulan gangguan berulang perkhidmatan Aerotrain di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kementeriannya pada peringkat awal memberi ruang kepada MAHB untuk menyesuaikan diri semasa fasa penyesuaian operasi, namun gangguan terus berlaku, sekali gus memaksa tindakan lebih tegas diambil.
“Pada peringkat awal operasi Aerotrain, kementerian memahami bahawa MAHB memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.
“Namun, selepas beberapa bulan beroperasi, kementerian melalui APAD akan mengambil tindakan tegas terhadap MAHB bagi setiap gangguan perkhidmatan yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegas Loke, MAHB di bawah syarat lesen operasi diwajibkan secara undang-undang untuk menyediakan tahap perkhidmatan yang memuaskan.
Sebarang pelanggaran katanya, boleh dikenakan kompaun sehingga RM250,000 bagi setiap kesalahan, seperti yang termaktub di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
Perkhidmatan Aerotrain yang menghubungkan bangunan utama dan bangunan satelit di Terminal 1 KLIA tergendala beberapa kali sejak ia disambung semula pada 1 Julai lalu, selepas digantung untuk kerja-kerja penambahbaikan.
Awal pagi tadi, penumpang dilaporkan terpaksa keluar dari gerabak dan berjalan di atas landasan dalam keadaan gelap sambil membawa bagasi mereka selepas tren terbabit sekali lagi mengalami gangguan teknikal.
Terdahulu, MAHB mengesahkan bahawa perkhidmatan Aerotrain di KLIA Terminal 1 mengalami kerosakan teknikal pagi tadi, menjadikannya antara siri insiden yang terus menjejaskan sistem tersebut.
MAHB berkata, pihaknya sedang menunggu laporan terperinci serta penjelasan daripada kontraktor bertanggungjawab berhubung kejadian terkini serta insiden sebelumnya yang berlaku pada 15 Oktober.
“Siasatan awal mendapati isu berpunca daripada sistem kuasa Aerotrain, yang berada di bawah tanggungjawab IJM-PESTEC Joint Venture (IPJV),” menurut kenyataan tersebut.
Bagi mengurangkan kesan kepada penumpang, langkah proaktif telah diambil termasuk menempatkan pasukan teknikal serta kontraktor Aerotrain di lokasi sepanjang masa bagi memastikan pergerakan penumpang berjalan lancar.
MAHB turut menegaskan bahawa pihaknya bekerjasama rapat dengan MOT dan APAD untuk memastikan semua langkah pembetulan dilaksanakan tanpa sebarang kelewatan.
Walaupun berdepan isu berulang, MAHB memaklumkan operasi KLIA kekal berfungsi sepenuhnya, termasuk semasa Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini yang menyaksikan lebih 530,000 pergerakan penumpang dan 3,400 penerbangan dikendalikan. - Getaran, 28 Oktober 2025



