
GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow (gambar) meminta semua pihak supaya tidak lagi bertelagah mengenai isu gangguan air di negeri ini, sebaliknya memberi fokus terhadap kerja pembaikan yang akan dilakukan kerana langkah itu demi manfaat penduduk untuk jangka masa panjang.
Beliau menegaskan pihaknya mahupun Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) tidak perlu lagi memberikan apa-apa penjelasan berhubung gangguan dari 10 hingga 14 Jan itu kerana perkara ini sudah diterangkan sejak sebulan lepas, malahan persiapan rapi juga telah dilakukan bagi membantu keseluruhan pengguna yang terjejas sepanjang tempoh empat hari itu.
“Kita kini sudah sampai ke peringkat kira detik 48 jam (sebelum tarikh gangguan), justeru apa-apa kritikan, alasan dan penjelasan yang diberikan sejak sebulan lepas sudah pun memadai.
“Jadi, tak perlu bergaduh atau pertikai kerana sekarang ini semua pihak perlu fokus untuk pastikan kerja penggantian injap berjalan lancar, tidak ada gangguan teknikal secara tiba-tiba ataupun banjir ... banyak faktor yang boleh mempengaruhi kerja-kerja terbabit tetapi kita harap ia dapat siap dalam tempoh ditetapkan,” katanya kepada pemberita ketika melakukan tinjauan persiapan logistik lori tangki jumbo di tapak parkir Stadium Bandaraya di sini hari ini.
Chow turut berharap semua pengguna dapat bersabar, selain menyimpan air secukupnya untuk kegunaan isi rumah sepanjang tempoh ketiadaan air dan pada masa sama memaklumkan bahawa lori-lori tangki akan membawa bekalan air kecemasan ke kawasan terjejas mengikut keperluan.
PBAPP sebelum ini memaklumkan sebanyak 59,000 pengguna termasuk bukan domestik akan terjejas dengan gangguan air bermula 6 pagi 10 Jan hingga 6 pagi 14 Jan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penggantian dua injap 1,200 milimeter (mm) Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua selain kerja-kerja sampingan di 22 lokasi di seluruh Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, Chow yang juga Pengerusi PBAPP berkata pihaknya tidak boleh menangguhkan gangguan bekalan air berjadual biarpun terdapat bantahan daripada segelintir pihak termasuk wakil rakyat tertentu kerana ia telah dirancang lebih awal.
Jelas beliau, PBAPP juga sudah bersiap siaga untuk menggerakkan kesemua 99 lori tangki air berkapasiti 40,000 hingga 50,000 liter ke kawasan yang terjejas mulai 6 petang Rabu, di samping membekalkan 97 tangki statik termasuk 19 tangki fleksi berkapasiti 24,000 liter selain tangki tambahan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen.
“Gangguan ini melibatkan 80 peratus daripada keseluruhan pengguna di negeri ini, manakala selebihnya tidak terjejas kerana mereka mendapatkan bekalan air dari LRA Air Itam, LRA Batu Ferringhi, LRA Bukit Panchor dan LRA Tok Alang di Bukit Mertajam,” katanya.
Selepas selesai penggantian injap, Chow berkata tumpuan seterusnya akan diberikan kepada pemulihan menerusi empat peringkat iaitu 33 peratus daripada 590,000 pengguna dijangka memperoleh bekalan air dalam tempoh 48 jam dan 84 peratus dalam masa 72 jam.
Baki 16 peratus lagi pengguna terjejas akan menerima bekalan dalam tempoh 96 jam disebabkan lokasi mereka berada di hujung paip agihan (EoL) dan kawasan tanah tinggi. -Bernama
