
WASHINGTON: Gangguan perkhidmatan Microsoft menyebabkan sebuah pusat tahanan di Colorado, Amerika Syarikat (AS) tidak dapat memproses pembebasan banduan yang sudah membayar wang ikat jamin secara dalam talian.
Pusat Tahanan Arapahoe County memaklumkan gangguan teknikal itu menjejaskan sistem pembayaran ikat jamin dalam talian kerana pihak penjara bergantung kepada notifikasi emel Outlook untuk mengesahkan pembayaran yang dibuat.
Menerusi kenyataan di akaun rasmi X, pihak penjara berkata, gangguan Microsoft itu menjejaskan urusan pembayaran ikat jamin bagi individu yang ditahan di fasiliti berkenaan.
Sehubungan itu, waris atau individu yang ingin membayar wang ikat jamin bagi membolehkan banduan dibebaskan segera diminta menunggu sehingga perkhidmatan emel kembali pulih atau membuat pembayaran secara bersemuka di penjara.
“Susulan gangguan itu, pegawai penjara tidak menerima notifikasi emel yang diperlukan untuk memproses pembayaran ikat jamin dalam talian.
“Sehingga perkhidmatan Outlook kembali pulih, sesiapa yang ingin membuat pembayaran ikat jamin bagi pembebasan segera perlu berbuat demikian secara bersemuka di penjara,” menurut kenyataan itu.
Pihak penjara turut memohon maaf atas kesulitan berkenaan dan menghargai kesabaran orang ramai.
Insiden itu mengundang pelbagai reaksi lucu dalam kalangan pengguna media sosial selepas kenyataan berkenaan tular.
Seorang pengguna menyindir keadaan itu dengan berkata, banduan terpaksa menghabiskan satu hari lagi di penjara hanya kerana Microsoft gagal menyelesaikan masalah teknikalnya.
Seorang lagi mempersoalkan kebergantungan sistem penjara terhadap notifikasi emel, sedangkan pembayaran sepatutnya boleh disahkan menerusi pangkalan data lain.
Pengguna lain pula membayangkan situasi seseorang yang sudah ditangkap, warisnya telah membayar wang ikat jamin, namun masih terpaksa meringkuk dalam penjara hanya kerana gangguan Microsoft Outlook.
Ada warganet yang menyifatkan kejadian itu sebagai bukti terlalu bergantung kepada Outlook bukanlah satu langkah bijak, apatah lagi apabila kebebasan seseorang turut terjejas akibat gangguan berkenaan.
Gangguan global yang berlarutan lebih 12 jam itu bermula lewat malam Khamis, dengan Microsoft mengaitkan masalah berkenaan kepada peningkatan beban pada infrastruktur pelayannya.
Dalam kenyataan terbaharu di platform X, Microsoft berkata, pihaknya masih berusaha memulihkan pelayan bahagian hadapan selain melaksanakan langkah mengoptimumkan trafik bagi meningkatkan kestabilan perkhidmatan dan kapasiti sistem.
Ia bukan kali pertama Microsoft berdepan gangguan besar. Pada 2024, kemas kini perisian yang bermasalah daripada firma keselamatan siber CrowdStrike menyebabkan ribuan peranti menggunakan sistem operasi Windows mengalami kerosakan di seluruh dunia.
Pakar ketika itu menyifatkan insiden berkenaan sebagai antara gangguan teknologi maklumat terbesar dalam sejarah.-AGENSI
The post Gangguan Microsoft halang penjara AS bebaskan banduan appeared first on Utusan Malaysia.
