Gangguan penumpang dalam pesawat, MH122 terpaksa berpatah balik ke Sydney

14 Aug 2023 • 5:10 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Pesawat Malaysia Airlines MH122 berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney selepas berlepas kira-kira jam 1.40 tengah hari waktu tempatan (11.40 pagi waktu Malaysia) berikutan “insiden kecemasan” di udara.

Menurut kenyataan syarikat penerbangan itu, insiden tersebut disebabkan gangguan penumpang dalam pesawat dan pihak berkuasa tempatan sedang memantau situasi berkenaan.

Pesawat itu kemudiannya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney pada jam 3.47 petang waktu tempatan dan berhenti di hujung landasan yang dikelilingi kenderaan kecemasan, lapor portal berita Australia 9News.

Jurucakap Polis Persekutuan Australia dipetik sebagai berkata, pegawainya telah dikerahkan untuk bertindak balas terhadap insiden kecemasan di lapangan terbang itu.

"Perkembangan terkini mengenai perkara itu akan diberikan pada masa yang sesuai,” katanya.

Sementara itu, seorang penumpang pesawat tersebut menerusi Twitternya memaklumkan seorang lelaki melakukan ancaman kepada penumpang lain dan juga kru kabin supaya tidak menyentuh beg berwarna hitam yang digalasnya.

“Dia mengancam penumpang bahawa dia mempunyai beg.

“Dia melaungkan Allahuakbar dan kemudian apabila kru kabin cuba menenangkannya, dia kata jangan dekatinya atau dia akan meletupkan bom di dalam begnya,” kata pengguna Twitter itu. – 14 Ogos, 2023


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved